PSM buat laporan polis ke atas kerajaan negeri

Mahonarani (empat, kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas kerajaan negeri mengenai isu pencerobohan hutan Bukit Kledang Saiong, di Balai Polis Ipoh.
Mahonarani (empat, kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas kerajaan negeri mengenai isu pencerobohan hutan Bukit Kledang Saiong, di Balai Polis Ipoh.
A
A
A

IPOH - Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak siasatan menyeluruh dibuat terhadap isu pencerobohan haram kawasan hutan di Bukit Kledang Saiong.

Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, R Mohanarani berkata, pembersihan hampir 10 hektar kawasan hutan dan penanaman kelapa sawit di kawasan itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan amat membimbangkan.

Katanya, berdasarkan beberapa kenyataan yang dikeluarkan pihak berkaitan memperlihatkan seolah-olah mereka tidak mengetahui perkara tersebut sedangkan kesan pencerobohan dapat dilihat secara jelas oleh orang awam.

"Bagaimana satu pembersihan hutan seluas 10 hektar tidak dapat dikesan oleh mana-mana jabatan atau agensi penguatkuasa? Kita tahu apabila berlaku sebarang pencerobohan, penguatkuasa kita sangat cekap.

"Kenapa tiada sebarang tindakan diambil terhadap pencerobohan ini? Kita mahu polis siasat perkara ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis ke atas kerajaan Perak mengenai isu tersebut di Balai Polis Ipoh, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohanarani berkata, pihaknya juga ingin mengetahui latar belakang pihak yang menceroboh tanah tersebut.

Katanya, penceroboh tanah tersebut dilihat seperti tidak takut dikenakan tindakan undang-undang oleh kerajaan apabila meneroka tanah seluas itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak tanya siapa ada di belakang mereka ini? Siapa yang melindungi mereka semasa melakukan kerja-kerja ini?

"Polis juga harus menyiasat siapakah pihak ini yang menceroboh secara haram tanpa diambil tindakan oleh pihak penguat kuasa," katanya.

Dalam pada itu, Mohanarani berkata, PSM juga mempersoalkan rancangan pembangunan di kawasan tersebut oleh Perbandanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Katanya, sebarang pembangunan di kawasan itu seharusnya mengambil kira pandangan masyarakat setempat sebelum membuat keputusan.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Dr D Jeyakumar berpandangan, pembangunan kawasan hutan tersebut dibimbangi akan memberi kesan alam sekitar seperti runtuhan cerun dan banjir kilat.

Katanya, jika kawasan tersebut mahu dibangunkan untuk tujuan perumahan mampu milik, kerajaan negeri boleh mempunyai pilihan untuk menggunakan tanah lain yang sesuai dengan kos yang lebih rendah.