Bot rosak di laut, tiga nelayan diselamatkan Maritim Malaysia

Tiga nelayan yang terkandas pada jarak kira-kira 31 batu nautika barat Pulau Sayak, lewat petang pada Isnin akibat bot rosak dan bocor diselamatkan oleh Maritim Malaysia. Foto Maritim Malaysia
Tiga nelayan yang terkandas pada jarak kira-kira 31 batu nautika barat Pulau Sayak, lewat petang pada Isnin akibat bot rosak dan bocor diselamatkan oleh Maritim Malaysia. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan tiga nelayan selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin dan bocor pada jarak kira-kira 31 batu nautika barat Pulau Sayak di Kuala Muda,lewat petang pada Isnin.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata nelayan berkenaan, Awang Mat Shah, 63, dilaporkan keluar menangkap ikan pada petang Ahad bersama dua kru iaitu Sazali Seman dan Nik Man Mahat masing-masing berusia 53 tahun dengan menaiki sebuah bot nelayan tempatan kelas A.

Menurutnya, bagaimanapun dalam kejadian petang pada Isnin, bot mangsa dipercayai mengalami kerosakan enjin dan bocor ketika sedang menangkap ikan.

Mangsa dibawa ke jeti awam Tanjung Dawai oleh Maritim Malaysia dan diserahkan kepada keluarga masing-masing pada Isnin. Foto Maritim Malaysia
Mangsa dibawa ke jeti awam Tanjung Dawai oleh Maritim Malaysia dan diserahkan kepada keluarga masing-masing pada Isnin. Foto Maritim Malaysia

"Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima aduan sekitar jam 5.45 petang dan mengaktifkan operasi CARILAMAT dengan mengatur gerak bot PERKASA 24 ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

"Usaha menyelamat mengambil masa hampir dua jam berikutan cuaca buruk," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata, ketiga-tiga nelayan tersebut berjaya diselamatkan pada jam 7.50 malam dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa dibawa ke jeti awam Tanjung Dawai dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB)," katanya.

Tambah beliau, mereka juga diingatkan supaya memaklumkan destinasi kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi semasa berada di laut.