Bot rosak, 40 PATI Indonesia ditahan

Bot jenis pom-pom yang membawa 40 PATI warga Indonesia ditahan oleh pasukan PPM Kampung Acheh di perairan Bagan Datuk pada Ahad. - Foto ihsan PDRM
Bot jenis pom-pom yang membawa 40 PATI warga Indonesia ditahan oleh pasukan PPM Kampung Acheh di perairan Bagan Datuk pada Ahad. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

BAGAN DATUK - Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh berjaya menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam sebuah bot jenis pom-pom di kedudukan 1.1 batu nautika dari pesisir pantai tanjung Beting Beras Basah di sini pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga lelaki bertindak sebagai tekong dan awak-awak warga Indonesia berusia 23, 24 dan 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Dalam kejadian 10 pagi itu, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kehadiran bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Bagan Datuk. Pasukan PPM bergerak ke lokasi bot yang disyaki membawa sekumpulan PATI.

"Menyedari kehadiran polis, pengemudi dan dua pembantu bertindak terjun ke dalam laut untuk melarikan diri, namun mereka berjaya ditangkap," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, siasatan mendapati bot berkenaan dipercayai dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Indonesia, namun tersadai akibat kerosakan enjin.

"Pemeriksaan menemukan 22 lelaki, 11 wanita dan empat kanak-kanak berusia 1 hingga 55 tahun dalam bot berkenaan.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.