X

Kindly register in order to view this article
!

10 jam bawa dadah, akhirnya dua nelayan ditangkap

Soffian (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah syabu yang dirampas di Jeti Nelayan Sungai Gelugor, Batu Uban, Georgetown pada Ahad.
A
A

GEORGETOWN - Tindakan dua nelayan membawa 10.5 kilogram dadah jenis syabu dari Pulau Langkawi ke Pulau Pinang selama 10 jam tidak berbaloi apabila mereka ditahan sepasukan polis di Jeti Nelayan Sungai Gelugor, Batu Uban di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua mereka yang masing-masing warga tempatan dan Thailand itu dicekup sebelum sempat menyerahkan bekalan dadah itu kepada pembeli.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, dadah bernilai RM472,500 yang diperolehi daripada negara jiran itu untuk dihantar kepada sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

"Serbuan dibuat sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 11.30 pagi Ahad lalu selepas risikan dijalankan. Susulan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan lelaki warga Thailand berumur 36 tahun.

"Ketika serbuan, mereka baru tiba di jeti tersebut dan masih berada di atas bot nelayan berkenaan. Hasil pemeriksaan, kita menemui sebuah guni yang disembunyikan di bawah pukat ikan dengan di dalamnya terdapat 10 bungkusan teh herba cina yang mengandungi syabu seberat 10.5 kilogram," katanya di sini pada Selasa.

Bot nelayan yang disita daripada dua nelayan di Jeti Nelayan Sungai Gelugor, Batu Uban, Georgetown pada Ahad.
Bot nelayan yang disita daripada dua nelayan di Jeti Nelayan Sungai Gelugor, Batu Uban, Georgetown pada Ahad.

Beliau berkata, kedua-dua nelayan berkenaan berperanan sebagai penghantar dadah dengan upah yang dijanjikan sebanyak RM10,000 untuk sekali penghantaran.

"Mereka menggunakan perkhidmatan bot nelayan dengan tempoh perjalanan selama 10 jam untuk sampai ke sini dari Pulau Langkawi. Kedua-dua nelayan itu menggunakan bot milik lelaki Thailand tersebut untuk menjalankan kegiatan haram itu.

"Mereka sebenarnya telah tersesat di laut sehingga ke Tanjung Dawai, Kedah kerana tidak pernah datang ke sini, selain bot tersebut tidak mempunyai Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS). Mereka bergerak hanya berdasarkan persisir pantai untuk sampai ke Pulau Pinang," katanya.

Soffian berkata, kedua-dua suspek menggunakan laluan laut kerana menyangkakan ia lebih selamat berbanding laluan darat yang kini sedang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka sebelum ini pernah menghantar bekalan dadah ke beberapa lokasi lain dengan menggunakan laluan laut namun pertama kali ke Pulau Pinang. Bagaimanapun, kali ini mereka tidak berjaya apabila kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa.

"Bekalan dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan. Sekiranya ia terlepas di paaaran, ia mampu dibekalkan kepada 50,000 penagih. Kita juga tidak menolak kemungkinan sindiket pengedaran dadah ini mempunyai hubungan dengan rangkaian di luar negara," katanya.

Beliau berkata, lelaki warga Thailand itu pula tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan bekerja sebagai nelayan di Pulau Langkawi.

"Ujian air kencing kedua-dua suspek positif dadah. Mereka kini direman sehingga 22 Januari ini untuk siasatan lanjut, sementara bot nelayan yang dinaiki mereka disita.

"Kita masih giat memburu ahli sindiket pengedaran dadah yang terlibat kerana ketika serbuan, penerima bekalan dadah tersebut tiada di lokasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!