Pegawai kerajaan korup guna broker minta rasuah

Amalan meminta rasuah daripada golongan peniaga kecil dengan menggunakan broker perlu dihentikan kerana perbuatan itu menganiaya golongan berkenaan. - Gambar hiasan
Amalan meminta rasuah daripada golongan peniaga kecil dengan menggunakan broker perlu dihentikan kerana perbuatan itu menganiaya golongan berkenaan. - Gambar hiasan
A
A
A

SEGELINTIR pegawai kerajaan didakwa menggunakan khidmat orang ketiga atau broker untuk menjalankan aktiviti mengambil rasuah daripada golongan kontraktor dan peniaga kecil di negara ini.

Perbuatan tidak bermoral itu didedahkan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman yang mendakwa amalan ‘belakang tabir’ itu sudah berakar umbi dalam kalangan penjawat awam sejak tahun 1970-an lagi.

ROSLI
ROSLI

Mengambil contoh isu permohonan lesen perniagaan ditolak pihak berkuasa tempatan (PBT), Rosli mendedahkan modus operandi diguna pakai adalah dengan sengaja membiarkan permohonan awal peniaga berkenaan ditolak mentah-mentah.

“Apabila permohonan lesen niaga ditolak berulang kali, peniaga yang memohon pastinya resah. Mereka sudah mula berniaga dan tidak mahu diambil tindakan undang-undang oleh pegawai penguat kuasa PBT.

“Lalu, mereka ini akan didatangi ‘orang ketiga’.

Pihak ini mendakwa boleh menyelesaikan masalah berkenaan dengan syarat peniaga perlu melunaskan amaun pembayaran ditetapkan.

“Apa yang mereka tidak sedar adalah, ‘orang ketiga’ itu sebenarnya merupakan broker yang dihantar oleh kakitangan PBT korup bagi tujuan meminta rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas jenis-jenis rasuah yang terpaksa dihadapi golongan peniaga dan penjaja kecil di negara ini sehingga mencengkam kehidupan mereka.

Melalui amalan menggunakan broker, Rosli menjelaskan kumpulan penjawat awam berkenaan akan dilihat bersih dan tidak dapat dikaitkan dengan sebarang amalan penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

Selain permohonan lesen niaga, katanya, khidmat broker turut digunakan bagi urusan penawaran lot niaga, permohonan tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri, pemberian tender kerajaan, penukaran hak milik lesen niaga serta penggunaan cap rasmi badan bukan kerajaan (NGO) mewakili peniaga dan penjaja kecil.

Keratan muka depan Sinar Harian 16 Januari lalu.
Keratan muka depan Sinar Harian 16 Januari lalu.

“Ciri-ciri broker yang menjalankan amalan meminta rasuah bagi pihak penjawat awam korup pula kebiasaannya terdiri daripada ahli politik, pemimpin NGO, kontraktor dan peniaga sendiri.

“Selain itu, amalan rasuah sememangnya berleluasa membabitkan segelintir kakitangan PBT tertentu yang bekerja di jabatan perlesenan, jabatan perolehan dan jabatan penguatkuasaan,” katanya.

Rosli turut mengambil contoh kes penukaran hak milik lesen perniagaan kepada orang ketiga melalui khidmat broker yang difahamkan mencecah kos RM60,000.

“Bagi peniaga yang sudah diberikan hak milik lesen niaga, mereka dilarang untuk menukar nama hak milik lesen berkenaan kepada pihak ketiga.

“Bagaimana kes sebegini boleh berlaku? Tentunya broker berkenaan bekerja dengan ‘orang dalam’ di jabatan perlesenan sesebuah PBT,” katanya.

Ditanya mengenai amalan pihak tertentu mengambil wang perlindungan daripada peniaga, Rosli mendedahkan terdapat kumpulan samseng yang sebenarnya sudah ‘membeli’ tapak perniagaan seperti pasar tani atau ‘uptown’ daripada ketua jabatan PBT.

“Kumpulan samseng ini akan berkuasa menentukan siapa yang layak berniaga dan berapa wang perlindungan bulanan yang perlu dibayar peniaga.

“Maka, tidak hairanlah kebanyakan tapak perniagaan kini dipenuhi pendatang asing kerana golongan berkenaan sanggup membayar ‘wang perlindungan’ yang mahal untuk berniaga,” katanya.

Di sebalik kebimbangan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam, Rosli yakin masih ada jalan terbaik untuk membanterasnya.

“Saya mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melantik pihak berkecuali yang tidak ada kaitan dengan fungsi PBT atau agensi kerajaan bagi memantau sebarang amalan salah guna kuasa.

“Selain itu, PBT sepatutnya memberi ruang kepada peniaga untuk berniaga selagi mana lokasi perniagaan itu memenuhi syarat,” katanya.