X

Kindly register in order to view this article
!

Provokasi terhadap polis: Tujuh lelaki ditahan

Kejadian berlaku pada petang Ahad itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mengepung dan menghalang tiga anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam kejadian kemalangan melibatkan dua lelaki pada petang Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra'ais mengesahkan penahanan kesemua lelaki tersebut ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, ketujuh-tujuh lelaki itu akan direman di Mahkamah Majistret Georgetown di sini pada Selasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Selain itu, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun kerana melakukan ugutan jenayah serta Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis nafi tendang dua lelaki hingga kemalangan

Terdahulu, polis menafikan tuduhan bahawa tiga anggotanya menendang dua lelaki yang menaiki motosikal sehingga menyebabkan kemalangan dan mengalami kecederaan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet termasuk menuduh anggota polis terlibat sengaja menendang motosikal yang dinaiki dua lelaki sehingga menyebabkan kemalangan.

Tujuh lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan akan direman di Mahkamah Majistret Georgetown pada Selasa.
Tujuh lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan akan direman di Mahkamah Majistret Georgetown pada Selasa.

Dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki dilihat mengepung dan menghalang tiga anggota URB daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut selepas menuduh anggota polis itu menendang motosikal yang dinaiki dua lelaki itu sehingga menyebabkan kemalangan.

Kumpulan lelaki itu turut membuat provokasi terhadap anggota polis dengan menggunakan kata-kata kesat.

Mengulas mengenai kejadian itu, Soffian berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian pada jam 5.20 petang itu berlaku ketika tiga anggota URB sedang membuat rondaan di Jalan Sri Tanjung Pinang.

Menurutnya, anggota URB itu telah terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.

"Polis telah mengarahkan untuk berhenti namun mereka ingkar, malah turut memecut motosikal untuk melarikan diri.

"Anggota URB kemudian mengejar dan apabila tiba di lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya, motosikal yang dinaiki dua lelaki tersebut tidak berhenti lalu berlanggar dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar menuju ke Tanjung Bungah," katanya.

Akibat dari pelanggaran tersebut, katanya, kedua-dua lelaki berkenaan terjatuh dan mengalami kecederaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!