X

Kindly register in order to view this article
!

Polis nafi tendang dua lelaki hingga kemalangan

Kejadian berlaku pada petang Ahad itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.
A
A

GEORGETOWN - Polis menafikan tuduhan tiga anggotanya menendang dua lelaki yang menaiki motosikal sehingga menyebabkan kemalangan dan mengalami kecederaan di Tanjung Tokong di sini pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian itu telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet termasuk menuduh anggota polis terlibat sengaja menendang motosikal yang dinaiki dua lelaki sehingga menyebabkan kemalangan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, kejadian berlaku pada jam 5.20 petang, Ahad di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Tanjung Tokong di sini.

"Dalam kejadian itu, tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang sedang membuat rondaan di Jalan Sri Tanjung Pinang telah terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.

"Polis telah mengarahkan untuk berhenti, namun mereka ingkar malah turut memecut motosikal untuk melarikan diri.

"Anggota URB kemudian mengejar dan apabila tiba di lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya, motosikal yang dinaiki dua lelaki tersebut tidak berhenti lalu berlanggar dengan sebuah kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dari arah pusat bandar menuju ke Tanjung Bungah itu gagal mengelak lalu melanggar kedua-dua lelaki tersebut.

"Akibat dari pelanggaran tersebut, kedua-dua lelaki tersebut terjatuh dan mengalami kecederaan.

"Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan namun keretanya mengalami kemik di bahagian hadapan selain lampu dan bampar hadapan pecah.

Menurut Soffian, polis menerima satu laporan polis daripada seorang pemandu kereta yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Polis masih menyiasat kes ini termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau turut memohon kepada orang awam agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau tepat berhubung kemalangan tersebut sehingga mengelirukan orang ramai.

"Siasatan berkaitan insiden berkenaan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran.

"Mereka juga boleh menghubungi pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut, Inspektor Shahrul Nizam di talian 010-9771517 bagi membantu siasatan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!