YBR beri sumbangan kepada Mohamad Nor Atho'ullah

Mohamad Nor Atho'ullah (kanan) ketika menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang
Mohamad Nor Atho'ullah (kanan) ketika menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang
A
A
A

SHAH ALAM - Nasib seorang kanak-kanak yang telah kehilangan bapanya ketika dia sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang mendapat perhatian daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Menerusi satu kenyataan, YBR memaklumkan bahawa pihaknya terpanggil untuk memberikan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada Mohamad Nor Atho'ullah, 11, susulan daripada video yang tular baru-baru ini.

“Tersentuh hati apabila melihat satu video yang tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak yang tabah dengan kehilangan bapa tersayang.

“Di dalam video tersebut, kelihatan kanak-kanak itu ditenangkan pesakit Covid-19 lain yang ditempatkan di PKRC selepas bapanya, Mohamad Kamil Ghazali, 51, yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik Mohamad Nor Atho’ullah terima sumbangan Jemaah Menteri

“YBR sebagai sebuah entiti yang prihatin kepada nasib yang menimpa Adik Mohamad Nor Atho'ullah tampil memberikan sumbangan berupa wang tunai RM3,000,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Menurutnya, sumbangan tersebut disampaikan Pengurus Besar YBR, Mohd Fauzi Md Fadzil kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku wakil Menteri Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fauzi Md Fadzil (kiri) menyerahkan sumbangan buat Mohamad Nor Atho'ullah kepada Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) pada Isnin.
Mohd Fauzi Md Fadzil (kiri) menyerahkan sumbangan buat Mohamad Nor Atho'ullah kepada Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) pada Isnin.

Pada masa sama, YBR turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mohamad Nor Atho'ullah dan meminta supaya mereka tabah dalam menghadapi ujian tersebut.

Sementara itu, YBR berkata, bapa kanak-kanak tersebut yang difahamkan menghidap kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang tahap empat telah dimasukkan ke Hospital Serdang pada 31 Disember lalu.

Jelasnya, doktor yang terlibat memaklumkan keadaan jantung bapa budak tersebut didapati telah berhenti seketika selepas melakukan rawatan dialisis.

“Malah, beberapa hari sebelum meninggal dunia, bapa budak tersebut telah diberi ubat tidur tetapi ia tidak dapat menyelamatkannya,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, sebuah perkongsian oleh seorang pesakit yang menjalani kuarantin di PKRC MAEPS menunjukkan nasib malang yang menimpa Mohamad Nor Atho'ullah apabila menerima berita pemergian ayahnya akibat Covid-19.

Dalam video tersebut, pesakit lain yang berada di pusat berkenaan dilihat turut memberikan semangat kepada Mohamad Nor Atho'ullah dan pada masa sama turut mengutip sumbangan kilat bagi membantu meringankan beban yang dihadapinya.