Elak jadi punca penularan kes

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA mencatatkan kes harian empat digit setiap hari dengan rekod tertinggi pada 16 Januari, iaitu sebanyak 4,029 kes menjadikan bilangan mereka yang telah dijangkiti mencecah 160,000 orang selain meragut hampir 600 nyawa, melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga 65 dalam senarai negara yang dilanda pandemik.

Berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1, unjuran kes harian dijangka melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

Perkembangan itu menjadikan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,500 hingga 3500 kes baharu setiap hari. Sebanyak 15 buah hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Di Lembah Klang, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus.

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak juga telah melebihi 70 peratus. Malahan, terdapat lebih daripada 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

Maka pengisytiharan darurat dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan untuk tempoh 12 hingga 26 Januari menjadi serampang dua mata untuk mengekang penularan Covid-19 di negara ini daripada merebak luas yang boleh melumpuhkan sistem kesihatan awam negara.

Tempoh dua minggu ini sangat kritikal kerana KKM menyasarkan penurunan kes harian kepada 500 hingga 1,000 kes sehari.

Tindakan memberi kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri sejak Disember lepas telah menjadi punca peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak, khususnya di Terengganu dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Di Terengganu, pada 10 Januari, sebanyak 216 kes positif dicatatkan dengan 73.6 peratus penyumbang adalah daripada individu yang datang dari zon merah di luar Terengganu.

Di Johor, pergerakan pekerja industri ke zon merah serta ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) menjadi antara punca negeri tersebut sekali lagi mencatat rekod tertinggi kes positif Covid-19 di Malaysia iaitu 1,103 kes pada 8 Januari.

Ia turut disumbangkan oleh penempatan warga asing yang tidak mematuhi SOP iaitu sesak, sempit dan kurang menitikberatkan aspek kebersihan sehingga menyumbang kepada penularan yang cepat kalangan mereka.

Saringan

Kelalaian dan kecuaian segelintir masyarakat yang tidak patuh kepada SOP juga menjadi antara punca kepada permasalahan ini. Jika masyarakat patuh dan sentiasa mengamalkan penjagaan diri, graf jangkitan Covid-19 yang telah menunjukkan penurunan suatu ketika dahulu pasti akan dapat dilandaikan.

Disebabkan wujud ketidakpatuhan SOP maka, setiap hari secara purata, polis melakukan 45,000 hingga 50,000 pemeriksaan di seluruh negara dan tidak mustahil akan meningkatkan lebih banyak penguatkuasaan SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Semua pihak harus berwaspada bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada risiko dijangkiti. Selagi proses vaksinasi belum dilaksanakan, kita hanya ada tiga ‘vaksin’ iaitu pelitup muka, pensanitasi tangan dan penjarakkan fizikal.

Sekiranya kita alpa, sudah pasti kluster baharu akan muncul.

Apabila ini berlaku, kita sebagai rakyat merana, petugas kesihatan terseksa manakala negara mengalami penjejasan daripada segi ekonomi yang pastinya memberi tempias yang bukan sedikit.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia