Penjawat awam rugi RM200,000 ditipu Macau Scam

Mohd Salleh
Mohd Salleh
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penjawat awam kerugian RM200,000 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, lelaki berusia 37 tahun tersebut terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan sekitar Oktober dan November tahun lalu daripada individu yang mendakwa dari Pejabat Pos Sabah.

Katanya, mangsa diberitahu maklumat dirinya telah disalahgunakan untuk penghantaran kad ATM dan cek.

"Mangsa juga dihubungi oleh ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis Sabah dan memberitahu mangsa telah terlibat dengan pengubahan wang haram.

"Mangsa yang panik bertindak mengikut arahan yang diberikan untuk membuat pembayaran bagi membersihkan namanya daripada kes penggubahan wang haram," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Salleh, bermula pada 15 hingga 16 November, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat sebanyak RM200,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh ahli sindiket bagi menyelesaikan kes yang kononnya melibatkan mangsa.

"Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu apabila menghubungi polis Sabah dan terkejut apabila dimaklumkan dirinya telah ditipu.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Batu Pahat pada Ahad," katanya

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Salleh, pihaknya mengingatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi wang ke atas akaun bank individu yang tidak dikenali.