Penipuan Phone Scam di Kedah catat kerugian RM5.2 juta

Sebanyak 125 kertas siasatan dibuka sejak Januari sehingga Mei lalu bagi kes penipuan membabitkan Phone Scam di Kedah. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fisol)
Sebanyak 125 kertas siasatan dibuka sejak Januari sehingga Mei lalu bagi kes penipuan membabitkan Phone Scam di Kedah. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fisol)
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 125 kertas siasatan dibuka sejak Januari sehingga Mei lalu bagi kes penipuan membabitkan Phone Scam di Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Saleh, berkata, kes terbabit semakin meningkat di negeri ini sehingga menyebabkan kerugian mencecah hampir RM5.2 juta.

Katanya, peningkatan itu berbeza berbanding tahun lalu yang hanya membabitkan 100 kertas siasatan dan kerugian sebanyak RM2.2 juta dalam tempoh sama.

"Peningkatan kes sebanyak 25 peratus dan jumlah kerugian dua kali ganda berbanding tahun lalu harus diambil langkah yang lebih efektif dan berkesan untuk menyedarkan orang ramai.

"Ia termasuk menyedarkan mereka tentang modus operandi terkini yang dilakukan oleh sindiket-sindiket penipuan dan mencegah mereka daripada terus menjadi mangsa penipuan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya sepanjang tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah mengambil pendekatan mengadakan pelbagai program pencegahan jenayah di daerah sekitar kontinjen Kedah.

"Ini termasuk program Jelajah Kempen Anti Scam JSUK Kedah dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad yang dianjurkan hari ini sebagai langkah membanteras dan mencegah jenayah komersial, khususnya berkaitan kes penipuan membabitkan perbankan," katanya.

Fisol berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjawab panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali dan tidak menekan mana-mana pautan sama ada diterima melalui mesej, media sosial dan e-mel.

"Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mendedahkan dan berkongsi apa-apa data perbankan yang dimiliki dengan pihak ketiga serta tidak membenarkan mana-mana akaun bank di bawah milikan diakses dan diserahkan kepada individu lain,," katanya.

Ujarnya, tindakan berkenaan adalah bagi mengelakkan orang ramai daripada terus menjadi mangsa penipuan dan juga dapat mengelakkan diri daripada terbabit dengan keldai akaun.

"Sebarang aduan berkaitan kes penipuan juga boleh disalurkan kepada pusat operasi yang menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian iaitu Pusat Respons Scam Kebangsaan (NCRC) melalui talian 997," katanya.