X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia antara negara terawal di dunia gunakan RTK-Ag: PM

RTK-Ag telah digunakan untuk memastikan keputusan saringan apabila penularan Covid-19 didapati tinggi dalam kawasan penduduk tertentu. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara di dunia yang terawal menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) untuk melakukan saringan Covid-19, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggunakannya sejak Jun tahun lepas dan kit berkenaan dinilai oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi memastikan ia mematuhi standard yang diperlukan dan kemudiannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk kegunaan lebih meluas dalam komuniti.

Muhyidin berkata, demikian sebagai respons kepada surat terbuka kepada beliau yang dihantar oleh sekumpulan pakar kesihatan pada 7 Januari lepas dan kumpulan itu antaranya menggesa supaya saringan ditingkatkan dengan menggunakan RTK-Ag dan bukannya kaedah Tindak Balas Rantai Polimer (PCR) untuk membantu mengurangkan penularan Covid-19.

“Sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), RTK-Ag telah digunakan untuk memastikan keputusan saringan apabila penularan Covid-19 didapati tinggi dalam kawasan penduduk tertentu. Saringan RTK-Ag digunakan sebagai ujian penentu di Sabah sejak 5 Oktober tahun lepas.

KKM telah menyediakan lima pusat ujian RTK-Ag di Sabah bagi meningkatkan keupayaan ujian RTK-Ag. Sehingga 14 Januari lepas, sejumlah 365,740 saringan RTK-Ag telah dilaksanakan dengan kadar positif 3.75 peratus yang membantu KKM dalam mengurus penularan wabak itu di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Beliau menambah, KKM juga berupaya mengenal pasti kes positif lebih awal, mengasingkan dan merawat mereka serta mempercepatkan aktiviti pengesanan kontak bagi mengurangkan penularan penyakit itu di dalam komuniti.

Sementara itu bagi mengurus penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing, beliau berkata Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk melaksanakan saringan secara besar-besaran menggunakan kaedah RTK-Ag yang membolehkan pengesanan awal kes positif Covid-19.

“Setakat 13 Januari, sebanyak 146,083 saringan RTK-Ag sudah dilaksanakan untuk pekerja asing di bawah Program Saringan Perkeso dengan kadar positif 2.0 peratus dan pengasingan seterusnya,” katanya.

Berkenaan makmal diagnostik, Muhyiddin berkata, keupayaannya telah ditingkatkan kepada purata 60,000 ujian sehari dengan penyertaan makmal swasta di bawah pemantauan ketat oleh KKM, menggunakan kedua-dua kaedah, iaitu Tindak Balas Rantai Polimer (PCR) dan RTK-Ag.

Makmal berkenaan juga secara rutin menjalankan ujian untuk mengenal pasti varian baharu strain Covid-19 di Malaysia lantas membolehkan KKM menambah baik lagi pengurusan strateginya.

“KKM juga sedang menyelidik kaedah saringan alternatif sebagai contoh ujian air liur dan kaedah-kaedah baharu yang ada di dalam pasaran,” katanya.

Perdana menteri memberi jaminan keputusan untuk memindahkan sementara pesakit Covid-19 ke hospital swasta juga akan mengurangkan tekanan kerja petugas di hospital kerajaan yang menggalas bebanan tugas yang berat.

Buat permulaan, Menteri Kewangan, Ketua Pengarah Kesihatan dan lain-lain pegawai kanan kerajaan telah mengadakan satu perbincangan dengan pengurusan kanan hospital swasta yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memulakan inisiatif pemindahan pesakit itu.

“Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan lain-lain hospital swasta menerusi panggilan video dan disertai hampir 400 peserta untuk memulakan inisiatif itu. Saya rasa terharu dengan sokongan segera yang diterima daripada hospital swasta,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!