Kewajaran darurat kesihatan

A
A
A

MASUK minggu ketiga selepas melangkah ke tahun baharu 2021, dunia masih bergelut dengan peningkatan mendadak Covid-19. Seolah-olah wabak itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Malahan, kini jumlah kumulatif kes positif Covid-19 seluruh dunia sudah menjangkau 95 juta kes.

Di Malaysia setakat artikel ini ditulis, sebanyak 155,095 kes keseluruhan dengan 4,029 kes baharu tertinggi. Kes yang terus meningkat itu cukup mencemaskan dan merbahaya.

Peningkatan kes sejak kebelakangan ini turut memaksa beberapa negara melaksanakan semula sekatan dan darurat di beberapa negara dunia.

Pengisytiharan darurat di Malaysia berasaskan ancaman kesihatan untuk membendung penularan Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan proklamasi darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk memperkenankan selama mana tempoh darurat itu dilaksanakan.

Alasan perisytiharan darurat itu terkandung dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Perkara 150 (1) itu memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan terancam.

Pengisytiharan darurat itu tidak mencabuli hak asasi rakyat dan pelaksanaan perintah itu berperlembagaan.

Malah beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Sepanyol, China Lebanon, Thailand telah melaksanakan darurat dan perintah berkurung mengikut peraturan negara masing-masing.

Walaupun pelaksanaan darurat berperlembagaan di Malaysia menurut Perkara 150, perintah itu boleh dicabar jika seseorang mempunyai bukti kukuh pengisytiharan dibuat dengan niat tidak baik.

Tindakan kerajaan yang memandang serius peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

Keprihatinan pihak kerajaan dengan menunjukkan sikap berani untuk menangani virus itu adalah sesuatu yang wajar dan memang diperlukan.

Langkah tepat

Proklamasi darurat juga merupakan langkah yang sangat baik kerana ia juga dapat mengendur dan ‘merehatkan᾿ ketegangan politik sekali gus memberi peluang dan tumpuan kepada usaha-usaha memerangi Covid-19.

Pengisytiharan darurat itu adalah langkah tepat bagi memastikan usaha membendung wabak Covid-19 dapat dilaksanakan dengan cepat, tegas dan menyeluruh tanpa terikat dengan sekatan-sekatan di sudut pentadbiran atau birokrasi.

Undang-undang lebih ketat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dibuat melalui Ordinan Darurat, misalnya menaikkan kompaun kepada mereka yang ingkar arahan daripada RM1,000 kepada jumlah lebih besar.

Malah perintah penahanan sementara juga boleh dilakukan.

Keadaan itu juga perlu digunakan oleh pemerintah untuk memastikan Covid-19 dapat dibendung dan ditangani dengan lebih terancang.

Selain bagi memastikan seluruh pemimpin politik dan juga rakyat memberi tumpuan kepada masalah sebenar negara iaitu Covid-19, masalah ekonomi dan masalah kesempitan hidup dan bukannya kepada kemelut politik dalam negara.

Darurat juga boleh bertindak sebagai mekanisme untuk mengelak berlakunya pilihan raya. Ia adalah langkah tepat memandangkan akan berlaku aktiviti kempen dan pergerakan pengundi yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 sekiranya pilihan raya diadakan.

Bagaimanapun, bagi mengekalkan konsep check and balance, elok sekiranya persidangan Parlimen tetap diteruskan sepanjang darurat bagi memberi ruang kepada ahli Parlimen untuk mengemukakan pandangan rakyat bawahan.

Namun, kerajaan tetap mempunyai hak sama ada untuk menangguhkan sidang Parlimen atau ubah kaedah persidangan dengan cara persidangan dalam talian.

Juga menggunakan ordinan tertentu atau ordinan darurat jika terdapat risiko jangkitan Covid-19 akibat persidangan berkenaan.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara