Sinar Harian: Jihad perangi rasuah

Inisiatif Sinar Harian memerangi rasuah dengan pelancaran ‘Sinar Rasuah Busters’. Gambar kecil: Johan
Inisiatif Sinar Harian memerangi rasuah dengan pelancaran ‘Sinar Rasuah Busters’. Gambar kecil: Johan
A
A
A

SAYA menyokong penuh inisiatif memerangi rasuah dengan pelancaran ‘Sinar Rasuah Busters’. Saya mengalungkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang mengilham dan menggerakkan usaha ini.

Saya sangat setuju ini masa yang terbaik untuk ‘memulihkan moral bangsa’. Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia ‘menggempur amalan rasuah dan salahguna kuasa’ yang sudah sampai pada tahap kritikal dan menjadi wabak.

Hussamuddin, saya dan beberapa teman lain pernah menganggotai Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga pengakhir tahun 2015. Panel itu antara lain menasihat dan memantau SPRM.

Saya tidak dapat melupakan komitmen anggota PPPR pada masa itu untuk membantu SPRM menjalankan amanah tanpa gangguan dan dengan telus. Kemuncaknya ialah apabila dua orang pegawai penyiasat SPRM dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada bulan Ogos 2015. Mereka terbabit dengan siasatan ke atas SRC International, anak syarikat 1MDB.

Saya membuat kenyataan media bagi pihak teman-teman dalam PPPR mendesak agar mereka dikembalikan ke SPRM. Panel juga mengecam sebarang bentuk intimidasi ke atas mana-mana pegawai SPRM yang sedang menjalankan tugas mereka.

Panel juga mengambil ingatan tawaran Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Timbalan Pesuruhjaya SPRM agar beliau ditukarkan, bukan dua orang pegawai itu, oleh sebab kedua-duanya menjalankan tugas yang diarahkannya.

Kita tahu apa yang berlaku pada 1MDB dan SRC International. Ia akan menjadi satu episod pahit dalam sejarah negara. Demikian antara ‘kesukaran’ yang dihadapi oleh pegawai SPRM dalam menjalankan tugas mereka.

Pada masa ini, Datuk Seri Azam Baki, orang lama dalam SPRM berada di tampuk pengurusan tertinggi.

Beliau juga banyak diwarnai oleh dugaan dan ancaman sewaktu menjalankan tugas. Pengalaman itu sudah tentu mematangkan beliau. Kita penuh yakin pada keupayaannya melaksanakan tugas tanpa takut atau memilih bulu.

Artikel Berkaitan:

Saya dapat mengesan kekecewaan Hussamuddin dalam konteks memerangi rasuah. Saya percaya beliau melancarkan jihad itu setelah mengambil kira keadaan rasuah di Malaysia.

Beliau mengambil inisiatif yang betul menggunakan platform media yang dimilikinya untuk tujuan itu.

Rasuah tidak dapat diperangi dengan sekadar wujudnya sebuah organisasi seperti SPRM. SPRM memerlukan sokongan.

Cara yang dilakukan oleh Hussamuddin ialah salah satu daripada sekian banyak cara membantu SPRM. Tanpa perlu menjadi vigilante atau memerangi kincir angin seperti watak Don Quixote dalam novel klasik karya Miguel de Cervantes, Sinar Harian boleh memainkan peranan yang berkesan dalam soal ini.

Rasuah ada bukti, rasuah ada gejala dan rasuah ada ‘pelakonnya’ – baik pemberi atau penerima. Saya percaya kita punya ekosistem dan struktur yang sebaiknya untuk memerangi rasuah.

Akta dan sistem perundangan kita memadai untuk itu. Kita punya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk melindungi pemberi maklumat.

Apa yang kurang hanya sikap yang betul. Itulah yang ditekankan oleh Hussamuddin apabila beliau menyebut keperluan melancarkan inisiatif ‘pemulihan moral bangsa’. Ada yang tidak kena pada nilai atau sikap kita tentang rasuah. Ada yang kurang pada cara kita melihat rasuah sebagai dosa dan jenayah.

ARTIKEL BERKAITAN Gerakan memulihkan moral bangsa

Kita pernah melancarkan kempen antidadah hinggakan kita memperkukuh kebencian terhadap dadah menggunakan semantik – kita menyebutkan ‘najis dadah’. Mungkin kita perlu juga memikirkan ungkapan baharu untuk memperkejap kebencian kita pada rasuah – ‘najis rasuah?’

Sebagai Pengerusi PPPR, saya banyak berhubungan dengan teman-teman di Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia. Selain mengadakan rangka lawatan ke ibu pejabat KPK, kami juga menemui gerakan massa yang memantau rasuah di sana, antaranya Transparency International dan Indonesia Corruption Watch (ICW).

Tetapi yang lebih mengagumkan pada tahun 2012 itu ialah gerakan massa Indonesia membenci rasuah. Nampaknya timbul kesedaran menyeluruh di kalangan rakyat untuk membanteras rasuah. Ibu pejabat KPK di Daerah Kuningan di Jakarta sudah sesak, sedangkan KPK mahu menambah anggotanya daripada 700 menjadi lebih 1,200. KPK telah membuat permohonan sejak 2008 untuk tujuan itu dari Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) tetapi tidak berjaya.

Menyedari hal itu, ada gesaan daripada rakyat agar bangunan itu ‘dibiayai oleh rakyat’ bukan peruntukan daripada DPR. Pendapat itu mengatakan bahawa KPK tidak harus ‘terhutang budi’ pada orang politik. Tiba-tiba jutaan rakyat Indonesia menyumbang untuk mendirikan bangunan baharu KPK.

Saya berkesempatan menemui Setiausaha Agung Persatuan Pedagang Kaki Lima Indonesia (PPKLI), Pak Junaedi Sitorus. PPKLI yang mendakwa mempunyai 54 juta ahli berharap setiap ahlinya menyumbang Rp1,000 (33 sen). Gerakan itu dipanggil ‘Koin Untuk KPK’.

Beliau memberitahu saya bahawa pada 25 Jun 2012, beliau ke Kuningan untuk menyerahkan sebahagian sumbangan itu. KPK bagaimanapun menolak disebabkan KPK belum ada peraturan menerima sumbangan.

Menurut beliau yang penting bukan publisiti, “kami tak tahu politik.” Katanya, tujuan pungutan itu ialah untuk “rakyat mendokong KPK, jangan sampai apa yang dilakukan KPK tidak didokong rakyat.”

‘Koin Untuk KPK’ menjadi slogan baharu memerangi rasuah di Indonesia. Banyak pihak menyuarakan pandangan pada usaha membasmi rasuah. Din Shamsuddin, Presiden Muhammadiah, salah sebuah gerakan massa Muslim terbesar Indonesia menganggap usaha menghapuskan rasuah sekadar ‘separuh hati’. Beliau menggunakan Muhammadiah untuk membangkitkan kesedaran menyeluruh benci rasuah.

Anak-anak muda mula memakai baju-T bertulis ‘Sang Koruptor: Apa Agama Kamu?’ dan ‘Jalan Lain Ke Neraka: Ayo Jadi Korup’.

Semua itu membantu persepsi bahawa rasuah itu keji. Orang yang terlibat dengan rasuah harus dipandang hina. Memang Indonesia menghadapi masalah persepsi tentang kedudukan kronik rasuah tetapi akhir-akhir ini keadaan itu banyak berubah.

Memang ada perbezaan peranan KPK dan SPRM. KPK tidak menyiasat ‘kes kecil’ sebaliknya hanya kes berskala besar. SPRM menyiasat daripada kes sekecil-kecilnya hingga kes berbilion ringgit. Namun demikian, rasuah tetap rasuah di mana sahaja.

Rasuah ialah jenayah ke atas kemanusiaan. Ia jenayah ke atas pembangunan. Ia juga jenayah yang akan merosakkan moral bangsa. Jihad Hussamuddin dan Sinar Harian memerangi rasuah seharusnya disambut oleh rakyat, NGO, gerakan agama, badan seperti Corruption Watch, Transparency International dan lain-lain tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam drama saya berjudul Bangku, salah satu wataknya ialah orang yang pernah dipenjara kerana mengambil rasuah. Watak itu muncul pada tahun 1989. Salah satu dialognya ialah, “Orang macam aku akan sentiasa jadi hero. Orang jujur dan baik macam kau akan sentiasa jadi hamba dan menderita.”Kita harus mengubah semua itu. Penerima rasuah bukan hero tetapi musuh rakyat!

* Tan Sri Johan Jaafar mentan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengerusi Media Prima Berhad. Beliau merupakan Tokoh Wartawan Negara ke-12. Beliau pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM.