Redakan seketika pergolakan politik

A
A
A

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan supaya proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah untuk membendung wabak Covid-19.

Proklamasi darurat dicadangkan sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

Sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan. Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak akan bersidang.

Bagi Sin Chew Daily, proklamasi darurat dikuatkuasakan sudah tentu membawa kesan positif, bukan sahaja untuk mencegah penularan Covid-19, malah juga meredakan seketika pergolakan politik negara yang sedang berlaku ketika ini.

“Malah, Malaysia bakal membuka lembaran baharu apabila kerajaan dan pihak pembangkang serta rakyat jelata sama-sama berganding bahu memerangi Covid-19,” ulas Lidah Pengarang akhbar Cina tersebut.

Kata akhbar itu, tidak dapat dinafikan penguatkuasaan darurat sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan faktor politik.

“Dengan pergeseran antara kerajaan dan pembangkang secara berterusan, sudah semestinya akan menggugat usaha kerja-kerja pencegahan Covid-19.

“Oleh itu, kini sudah tiba masanya untuk semua pihak menumpukan masa dan tenaga bagi menjaga keselamatan serta kesihatan rakyat jelata,” tulis akhbar itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengingatkan golongan ahli politik jangan terlalu berpolitik, sebaliknya berusaha melawan Covid-19.

Katanya, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengetepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

Bagaimanapun, bagi memastikan pelaksanaan darurat dijalankan dengan adil dan telus, satu Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan.

Jawatankuasa itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong yang dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Menurut Sin Chew Daily, selain proklamasi darurat boleh menstabilkan situasi politik, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 juga mempunyai peranan mengawal pergerakan orang ramai dan kegiatan perniagaan.

“Kita percaya negara kita mampu mengatasi situasi getir seperti sekarang ini walaupun mendepani tiga masalah besar dalam satu masa iaitu pergolakan politik yang tegang, kelembapan ekonomi dan penularan Covid-19.

“Selepas hampir setahun kita bertarung melawan penularan virus ini, kita juga sebenarnya telah belajar menggunakan kaedah yang lebih berkesan iaitu menenangkan ketegangan politik, menyuntik semangat rakyat, selain menambah baik rawatan perubatan yang lebih baik dan cepat serta mendapatkan vaksin yang dijangka tiba ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Dalam tempoh sebulan ini adalah tempoh yang amat penting untuk melandaikan lekuk Covid-19 di Malaysia. Ia pasti berjaya sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak,” tulis akhbar tersebut.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian