Kerajaan perlu nilai semula strategi tangani Covid-19

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan perlu menilai semula strategi serta pendekatan yang digunakan selama ini dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu perlu berikutan sehingga hari ini kerajaan masih belum dapat membebaskan negara dan rakyat daripada wabak berkenaan.

Menurutnya, proklamasi darurat yang dilaksanakan ketika ini memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk menguruskan pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, katanya, dengan perlaksanaan Ordinan Darurat itu rakyat tidak ingin melihat apa-apa tindakan yang akan menghakis sistem demokrasi berparlimen.

"Ditegaskan bahawa kuasa eksekutif Menteri Besar atau Ketua Menteri serta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dikekalkan dan tidak dijejaskan oleh proklamasi darurat.

"Namun begitu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Kon Yeow menghadiri Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pagi Sabtu.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau suatu tarikh yang lebih awal sekiranya angka harian kes baharu positif Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu pada Isnin.

Perdana Menteri berkata, darurat bukannya rampasan kuasa dan aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa, tetapi Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung sehingga tempoh berakhir.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kemudian membantah pengisytiharan darurat itu yang didakwa mereka sebagai tindakan untuk Muhyiddin menyelamatkan kedudukannya, merencatkan demokrasi dan menafikan suara rakyat.

Selang beberapa hari, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang.

Presiden PKR itu bagaimanapun berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua ahli Parlimen dan parti masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar hantar surat kepada semua MP rayu Agong batal darurat