Darurat beri kesan terhadap ekonomi rakyat, negara

Howard Lee, Shazni Munir Mohd Ithnin, Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Howard Lee, Shazni Munir Mohd Ithnin, Akmal Nasrullah Mohd Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Rasional untuk memohon darurat sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kesan terutama sekali dalam aspek ekonomi rakyat dan negara.

Menurut kenyataan bersama pemimpin muda Pakatan Harapan (PH), tempoh darurat bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos ini menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara dengan baik.

"Sebaik sahaja diumumkan, pasaran saham dan matawang Malaysia jatuh merudum.

"Daripada perspektif matawang, dolar US kepada ringgit Malaysia mencapai paras tertinggi iaitu 4.072, 0.27 peratus lebih tinggi daripada penutupan hari sebelumnya sekitar 4.061.

"Bahkan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia pula turun sekitar 15.98 mata atau 1.45 peratus berbanding hari sebelumnya.

"Sekiranya tiada pemulihan yang konsisten, ia bakal memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara," kata kenyataan bersama itu pada Sabtu.

Kenyataan bersama itu melibatkan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Dalam pada itu, mereka berkata, kadar pengangguran yang kini mencatat sekitar 4.8 peratus juga dijangka terus meningkat yang dianggarkan sebahagian besar daripada angka ini terdiri daripada golongan belia.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan bersama itu, sebelum Covid-19, pengangguran belia kekal tinggi dengan 35.6 peratus datang daripada berpendidikan tinggi.

"Pada masa sama, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus) sebagaimana yang dilaporkan Bank Negara pada 27 Jun 2020.

"Lebih menyedihkan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau industri kecil dan sederhana (IKS), masih banyak lagi yang belum menerima subsidi upah," kata mereka.

Dalam hal ini, tiga pemimpin muda terbabit sepakat mengesa kerajaan membentangkan pelan jangka pendek untuk menyalurkan dana, khususnya kepada golongan muda yang terkesan.

"Jika tidak, pengisytiharan darurat ini hanyalah helah untuk menyelamatkan kedudukan politik Muhyiddin dan ia perlu ditolak secara total," kata mereka.