Pekerja kilang cemas tanah runtuh

Kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kilang dan asrama pekerja di Jalan PKPS, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada petang Jumaat.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kilang dan asrama pekerja di Jalan PKPS, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada petang Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seramai 71 pekerja di dua kilang berasingan di Jalan PKPS, Bestari Jaya, di sini cemas berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran kilang dan asrama pekerja pada petang Jumaat.

Difahamkan, seramai 58 pekerja di kilang ternak ulat dan 13 pekerja mengorek tanah liat yang menetap di rumah kongsi terbabit selamat dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Azrel Izaidi Ahamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 petang.

"Seramai tujuh anggota dan jentera dari BBP Bestari Jaya kemudian bergegas ke tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Azrel Izaidi berkata, operasi itu turut disertai BBP Batu Arang, polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan seramai 19 anggota terlibat.

Beliau memberitahu, setibanya tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku mendapan tanah dengan anggaran keluasan 500 meter X 100 meter dengan kedalaman 10 meter.

"Hasil pemeriksaan dan pemantauan lanjut mendapati masih ada baki runtuhan kecil berlaku dengan rekahan sedalam 10 meter," katanya.

Menurutnya, pihaknya telah berbincang dengan polis dan menasihatkan supaya operasi kilang dihentikan sementara, manakala pekerja yang menetap di asrama dan rumah kongsi berhampiran ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Bestari Jaya.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ditamatkan sementara pada jam 9.15 malam dan kerja-kerja pemantauan mendapan tanah akan dilakukan pagi Sabtu," katanya.