X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Pelajar sekolah diberi kelonggaran berambut panjang

ISMAIL SABRI
A
A

KUALA LUMPUR - Pelajar lelaki yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia 2020 dan 2021 yang akan ke sekolah di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 20 Januari ini akan diberikan kelonggaran jika berambut panjang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini yang bersetuju bahawa tiada tindakan dikenakan kepada pelajar berambut panjang.

"Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah buat membuat keputusan hasil perbincangan dengan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa walaupun berambut panjang, pelajar dibenar ke sekolah tanpa tindakan guru kerana kedai gunting masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PKP di sini pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata sektor ekonomi membabitkan kedai gunting rambut di kawasan terbabit masih ditutup selama dua minggu dan akan dinilai Kementerian Kesihatan bergantung kepada situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Pada sidang akhbar yang sama, Ismail Sabri berkata institusi pengajian tinggi atau sekolah tidak boleh mengenakan syarat kepada pelajar untuk menjalani ujian Covid-19 sama ada bagi memasuki asrama atau untuk menduduki peperiksaan kecuali bagi pelajar yang bergejala sahaja.

Beliau berkata terdapat aduan berkenaan isu tersebut sehinggakan pelajar terpaksa menanggung sendiri kos saringan ujian Covid-19.

Sementara itu, bagi operasi kedai cermin mata, tegasnya, kebenaran telah diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas meneliti rayuan pemain industri namun hanya dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ketat atau berdepan tindakan serta hukuman sewajarnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari.

Sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang PKP dengan waktu operasi antara 6 pagi hingga 8 malam, kecuali bagi aktiviti tertentu termasuk restoran, kedai makan, penjaja tepi jalan dan beredar serta medan selera namun tidak boleh makan di premis berkenaan kerana hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu dibenarkan.

Selain itu, kiosk, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai keperluan harian, dobi kecuali dobi layan diri dibenarkan dibuka dengan had waktu yang sama. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!