Budak 11 tahun nyaris dipaksa kahwin

No Image Caption
A
A
A

SEBERANG PERAI TENGAH - Seorang kanak-kanak warga Myanmar berjaya diselamatkan daripada dikahwinkan dengan lelaki berusia 20 tahun di sini, 6 Februari lalu.

Hal itu terbongkar apabila salah seorang pengarah sebuah pusat pembelajaran bekas tempat kanak-kanak berusia 11 tahun itu belajar telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis menerima laporan dari seorang lelaki bahawa bekas pelajarnya akan dikahwinkan pada malam Rabu lalu.

Menurutnya, laporan dibuat lelaki berusia 33 tahun pada petang Rabu lalu menyatakan bekas pelajarnya berbangsa Rohingya akan dikahwin dengan persetujuan bapanya sendiri dengan lelaki berbangsa yang sama.

"Kanak-kanak itu sudah tidak bersekolah dan merupakan pelarian dari Myanmar berbangsa Rohingya. Dia dijangka akan dikahwinkan di sebuah rumah di Taman Perai, Perai.

"Susulan daripada itu, satu perbincangan di antara polis, bapa kanak-kanak itu, kanak-kanak tersebut, lelaki yang ingin dikahwinkan dan lima pegawai agama telah dibuat. Perbincangan itu dibuat di sebuah rumah di Taman Senangin, Perai selama dua jam," katanya menerusi kenyataan media tadi.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak tersebut menyatakan alasan untuk mengahwinkan anaknya itu kerana faktor penjagaan.

"Polis telah memberi nasihat kepada ketiga-tiga serta ahli keluarga mereka mengenai niat mereka itu. Keluarga Rohingya itu bersetuju untuk menangguhkan perkahwinan sehingga kanak-kanak itu cukup umur.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya pasangan itu ingin meneruskan perkahwinan, mereka perlu melalui proses permohonan perkahwinan dengan pejabat agama dan mahkamah. Kes telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, JKM akan membuat pemantauan secara berterusan terhadap kes berkenaan.

Bapa kanak-kanak tersebut berusia 46 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan.

Isteri pertamanya telah meninggal dunia dan telah berkahwin semula.

Kanak-kanak itu merupakan anak sulung dan mempunyai adik perempuan berusia 4 tahun.