PKP seluruh Kelantan mulai esok

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seluruh negeri Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok hingga 26 Januari, manakala di Sarawak PKP dilaksana di daerah Sibu, Selangau dan Kanowit bermula esok hingga 29 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan terdapat peningkatan kes Covid-19 di Kelantan serta tiga daerah di Sarawak.

“Sejak 10 Januari, purata kes harian di Kelantan meningkat antara 80 hingga 100 kes malah kes aktif turut meningkat secara mendadak dalam tempoh 14 hari.

“Jajahan Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Gua Musang, Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah kini zon merah manakala Pasir Puteh dan Pasir Mas zon kuning dan Jeli zon jingga,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata semua prosedur operasi standard (SOP) PKP yang diumumkan sebelum ini terpakai di Kelantan dan tiga daerah di Sarawak antaranya hanya dua wakil isi rumah dibenar keluar untuk mendapatkan barangan keperluan.

Ismail Sabri berkata, KKM turut melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak yang melibatkan kluster dalam komuniti di seluruh negeri itu ketika ini.

Beliau berkata sehingga semalam secara kumulatif sebanyak 1,649 kes positif direkodkan di Kelantan.

Di Sarawak, beliau menjelaskan sejak 31 Disember hingga 13 Januari 2021, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh 14 hari iaitu daripada dua kepada 251 kes.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan kes adalah dari Kluster Pasai di Sibu dan Mukah yang merekodkan sejumlah 394 kes daripada jumlah kes secara keseluruhan.

“Kluster ini melibatkan 18 rumah panjang yang bertaburan di seluruh bahagian Sibu, justeru KKM menasihatkan agar PKP dilaksanakan di tiga daerah itu,” katanya. - Bernama