X

Kindly register in order to view this article
!

Kerja pembinaan perlu dihenti sepanjang tempoh PKP

Kementerian Kerja Raya
A
A

KUALA LUMPUR - Kerja-kerja pembinaan perlu dihentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri yang terlibat, kecuali bagi kerja-kerja yang disenaraikan Perkhidmatan Perlu, kata Kementerian Kerja Raya.

Menurut kenyataan kementerian itu, kerja-kerja perlu merangkumi, antaranya penyelenggaraan dan pembaikan kritikal seperti pembaikan cerun dan jalan, pembinaan infrastruktur awam utama serta pembinaan bangunan bagi projek yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Pengecualian juga diberikan bagi operasi perkhidmatan profesional/perunding serta perkhidmatan lain dalam rantaian bekalan seperti bekalan bahan binaan dan penghantaran bahan, terhad kepada tapak bina yang diluluskan beroperasi.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) berkaitan PKP yang dikeluarkan kementerian itu, kebenaran beroperasi perlu diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) MITI.

Majikan juga perlu mematuhi peraturan waktu operasi yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Pada masa sama, pekerja pembinaan tidak dibenar berpindah dari satu tapak bina ke tapak yang lain, di samping mereka perlu membawa pas pekerja yang sah atau surat kebenaran majikan dan surat kelulusan beroperasi CIMS MITI untuk sebarang pergerakan.

Menurut FAQ kementerian itu, Pegawai Penguasa Projek bertanggungjawab memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya serta mengawal pergerakan keluar/masuk di tapak bina sepanjang tempoh PKP.

Kementerian itu turut mengulangi arahan semua pekerja asing diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

"Bagi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik kerana kit ujian RTK Antigen telah dibekalkan oleh Perkeso kepada klinik panel,” menurut FAQ itu.

Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!