Tiga lelaki ditahan, tiga lagi dikompaun langgar SOP PKP

NIK EZANEE
NIK EZANEE
A
A
A

PETALING JAYA - Tiga lelaki warga asing ditahan manakala tiga lelaki tempatan dikompaun kerana ingkar arahan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun di sebuah premis makanan di PJU 6A pada jam 10.35 pagi kerana tidak memakai pelitup muka dan membenarkan pelanggan masuk tanpa memakai pelitup muka.

"Pelanggan lelaki berusia 44 tahun itu dikompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka mengikut Peraturan 15 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Nik Ezanee berkata, tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun di sebuah restoran di Mutiara Damansara kerana membenarkan dua pelanggannya makan di dalam premis pada jam 3 petang.

"Dua pelanggan lelaki berusia 28 dan 38 tahun itu juga dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan PKP," katanya.

Menurutnya, tangkapan ketiga membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 46 tahun di sebuah premis cuci kenderaan di Jalan SS 25/32, Taman Mayang, di sini, jam 4.30 petang kerana gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi seperti mana sektor pekerjaan yang dibenarkan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa).

"Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPP) 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP bermula 13 hingga 26 Januari ini.