Lelaki ditahan jual gula tanpa lesen

Antara gula yang dirampas KPDNHEP Tanah Merah di sebuah premis perniagaan di Jalan Jedok di Tanah Merah pada Khamis.
Antara gula yang dirampas KPDNHEP Tanah Merah di sebuah premis perniagaan di Jalan Jedok di Tanah Merah pada Khamis.
A
A
A

TANAH MERAH - Akibat menjual barangan kawalan tanpa lesen yang sah, seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan di premis perniagaannya di Jalan Jedok di sini pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, pemeriksaan dijalankan anggotanya di premis perniagaan yang menjual telur ayam secara borong berkenaan pada awal pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati peniaga terbabit gagal mengemukakan lesen sah menjual barang kawalan iaitu gula pasir yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Kita menahan lelaki itu yang dipercayai pemilik premis. Lelaki itu juga mengaku bahawa barangan kawalan berkenaan dalam milikannya serta mengaku kesalahan dilakukan.

"Kita turut merampas gula pasir sebanyak 1,320 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan RM3,520 keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil bagi mana-mana peniaga yang tidak mempunyai lesen yang sah untuk menjalankan perniagaan barang kawalan atau menjual barang kawalan melebihi harga kawalan ditetapkan.

Malah, katanya, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, KPDNHEP akan meningkatkan lagi pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Premis perniagaan di daerah ini juga perlu mengadakan kawalan secara kendiri ke atas penjualan barangan keperluan harian di samping peniaga boleh mengenakan had jualan bagi memastikan lebih ramai pengguna berpeluang untuk memperolehnya.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga juga dibenarkan untuk tidak menjual kepada mana-mana orang yang ingin membeli barang-barang keperluan dalam kuantiti yang besar," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KPDNHEP Cawangan Tanah Merah telah melantik sebanyak 44 premis sebagai Dedicated Retailer (DDR) dan Dedicated Wholesaler (DDW) dalam Jajahan Tanah Merah dan Jeli untuk memastikan barang keperluan mencukupi.

"Kita berharap pengguna dapat menyalurkan maklumat atau aduan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau e-aduan di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di mana-mana pejabat kami yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya.

KPDNHEP Tanah Merah memeriksa dokumen berkaitan semasa rampasan dilakukan di premis perniagaan di Jalan Jedok di Tanah Merah pada Khamis.
KPDNHEP Tanah Merah memeriksa dokumen berkaitan semasa rampasan dilakukan di premis perniagaan di Jalan Jedok di Tanah Merah pada Khamis.