X

Kindly register in order to view this article
!

China laporkan kematian pertama Covid-19 dalam 8 bulan

Gambar fail menunjukkan ujian bagi mengesan Covid-19 dilakukan di Shijiazhuang iaitu ibu kota pentabiran wilayah Hubei. - Foto AFP
A
A

BEIJING - China melaporkan kematian pertama akibat koronavirus (Covid-19) pada Khamis iaitu kali pertama dalam tempoh lapan bulan ketika negara itu berusaha menangani kenaikan dalam kes pandemik tersebut.

Sebelum ini negara berkenaan berjaya mengawal penularan Covid-19 melalui perintah 'lockdown,' ujian pengesanan kes tersebut secara beramai-ramai dan sekatan perjalanan.

Bagaimanapun, baru-baru ini berlaku peningkatan kes terutamanya di bahagian utara negara berkenaan.

Sebanyak 138 jangkitan dilaporkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan pada Khamis iaitu jumlah kes paling tinggi pernah dicatatkan dalam sehari sejak Mac tahun lalu.

Tidak ada maklumat lanjut diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan kecuali ia dilaporkan berlaku di wilayah Hubei.

Sebelum ini kerajaan melaksanakan perintah 'lockdown' di beberapa buah bandar raya di wilayah berkenaan.

Pada minggu lalu, pihak berkuasa melancarkan ujian pengesanan Covid-19 secara besar-besaran dan menutup rangkaian pengangkutan, sekolah dan kedai di Shijiazhuang iaitu ibu kota pentadbiran wilayah Hubei.

Bandar raya Xingtai di selatan wilayah Hubei dan didiami seramai tujuh juta penduduk turut dikenakan perintah berkurung sejak Jumaat lepas termasuk bandar raya Langfang yang dihuni oleh lima juta orang.

Sebuah lagi wilayah di timur laut China iaitu Heilongjiang telah diisytiharkan darurat pada Rabu lalu menyebabkan kira-kira 37.5 juta penduduk tidak dibenarkan meninggalkan wilayah tersebut kecuali jika ada keperluan penting yang perlu diuruskan.

Dalam pada itu, kematian itu berlaku ketika China sedang menunggu ketibaan sekumpulan saintis daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang akan melakukan siasatan bagi mencari punca asal virus Covid-19 di negara berkenaan.

Angka kematian akibat Covid-19 di China kini ialah 4,635 orang. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!