Taufan Champi: Taiwan batal lebih 600 penerbangan

TAIPEI – Taiwan membatalkan semua 262 penerbangan domestik dan lebih 350 penerbangan antarabangsa pada Jumaat berikutan ancaman Taufan Champi yang membawa angin kencang serta hujan lebat.
Menurut laporan Reuters pada Jumaat, taufan yang semakin lemah itu tidak dijangka melanda Taiwan secara langsung, namun masih berupaya menyebabkan gangguan cuaca serius di sebahagian besar pulau berkenaan.

Pihak berkuasa meteorologi Taiwan melaporkan, Champi membawa tiupan angin sehingga kira-kira 191 kilometer sejam berhampiran pusat ribut ketika berada sekitar 330 kilometer di timur hujung selatan Taiwan.
Ribut itu dijangka melalui berhampiran pantai timur laut Taiwan sebelum bergerak ke utara ke arah perairan China dan seterusnya ke selatan Jepun.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kebanyakan sekolah dan pejabat di Taiwan ditutup pada Jumaat, manakala pasaran kewangan turut menghentikan operasi.
Di Taipei, perkhidmatan pengangkutan awam masih beroperasi tetapi dengan pengurangan perkhidmatan.
Gangguan turut menjejaskan perjalanan udara antara Singapura dan Taiwan apabila Singapore Airlines membatalkan empat penerbangan, manakala Scoot membatalkan 10 penerbangan yang dijadualkan pada Jumaat.
Penumpang yang terjejas dinasihatkan menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum meneruskan perjalanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

