Penarikan diri dua ahli Parlimen UMNO dilihat punya agenda

Penarikan diri dua ahli Parlimen UMNO daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat punya agenda.
Penarikan diri dua ahli Parlimen UMNO daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat punya agenda.
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan dua ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat mempunyai agenda lain.

Sumber UMNO berkata, pihaknya mempersoalkan motif di sebalik penarikan sokongan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

“Apa motifnya, melainkan ada agenda lain. Agenda mempopularkan diri pada parti yang akar umbi tidak minat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Jadi sengaja buat macam itu walaupun perkara ini memberikan kerosakan kepada parti.

“Atau penarikan diri ini atas arahan mana-mana individu. Yang jelas ia bukan arahan atau keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Itu jelas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Khamis minggu lalu, media melaporkan tiga usul utama dibangkitkan UMNO Bahagian iaitu mempertahankan Muafakat Nasional (MN), memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menggesa PRU dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.

Sabtu lalu, Ahmad Jazlan mengumumkan keputusanya menarik diri daripada menyokong kerajaan PN berkuat kuasa serta merta, diikuti oleh Nazri pada Selasa.

Sementara iti, sumber UMNO itu berkata, kedua-dua ahli Parlimen berkenaan sepatutnya dikenakan tindakan disiplin kerana tindakan mereka bukan perkara baik dan juga bukan keputusan parti.

“Ketidakmampuan kepimpinan UMNO untuk mengambil tindakan menunjukkan sama ada mereka sengaja nak membiarkan perkara ini berlaku iaitu ‘baling batu sembunyi tangan’ atau tak ada 'control of party' (kawalan parti),” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Nazri Aziz timbang tarik diri sokong kerajaan PN

Beliau turut mempersoalkan fungsi MKT UMNO yang membiarkan tindakan seperti itu berlaku.

“Kalau zaman biasa UMNO, MKT, ahli MKT atau Presiden yang akan minta siasat. Tapi mereka buat semua ini seolah-olah ini dapat restu daripada parti. Yang jelas mengikut kenyataan MKT dan dalam mesyuarat MKT tidak sesekali pun timbul untuk kita menarik diri daripada PN.

Nazri
Nazri

“Tidak sekalipun timbul kita menghalalkan atau meminta ahli Parlimen kita berbuat apa-apa. Kalau kita masuk kerajaan secara en bloc (kemasukan secara blok), kalau nak keluar pun (sepatutnya) keluar secara en bloc.

“Yang keluar seorang-seorang macam kartun ini buat apa? Benda ini semua mainan untuk agenda peribadi yang bukan untuk kepentingan parti. Tetapi disebabkan ramai Ketua Bahagian telah berpakat tidak mahu Bersatu disebabkan semua mahu menjadi calon, maka tindakan langgar etika parti ini boleh menjadi tindakan halal pula,” katanya.

Sumber UMNO itu turut mempersoalkan kenapa kedua-dua ahli Parlimen berkenaan menarik diri pada masa sekarang.

“Kalau ada kata usul bahagian menghalalkan, bukankah kenyataan MKT tempoh hari hendak angkat usul ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU)? Jadi kenapa buat sekarang?

“Lagi satu, siapa yang tahu UMNO, akan tahu usul ini semua disusun oleh Ketua Bahagian. Dalam satu negeri draf usul ditaip siap-siap dan ditiru semua bahagian dalam negeri itu. Jadi jangan berlakon seolah-olah ini suara tulen tanpa kawalan orang tertentu,” katanya.

Sumber UMNO itu turut mempersoalkan kenapa bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang didakwa mendahului parti dikenakan tindakan tetapi dua ahli Parlimen berkenaan sebaliknya.

“Kenapa, apa yang Tan Sri Annuar buat yang mendahului parti sebenarnya? Ada pelik dekat situ. Disebabkan Tan Sri Annuar dilihat cenderung kepada penyatuan antara tiga parti, dia dituduh mendahului parti.

“Orang lain yang memporak-perandakan parti dan tidak mengikut keputusan mesyuarat dibiarkan sebab itu popular dalam parti. Kalau parti macam ini, hancurlah,” katanya.

Menurutnya, UMNO juga telah terkena jerat sendiri apabila darurat diumumkan pada Selasa.

“Orang UMNO yang tidak suka Bersatu pun boleh fikir panjang. Tahu bila nak tekan bila nak tarik. Sekarang sebab nak sangat berlakon jadi pahlawan dalam parti dan tindakan akal pendek, sudah darurat dan UMNO telah terkena jerat sendiri,” katanya.