'Jangan politikkan semua perkara'

Zakaria (tengah) dan wakil penduduk, Datuk Jemale Paiman (tiga dari kanan) dan Anggerik (dua dari kanan) berbincang berkenaan isu geran tanah Taman Saujana di Pusat Khidmat DUN Permas, Taman Dahlia, Pasir Gudang, pada Selasa.
Zakaria (tengah) dan wakil penduduk, Datuk Jemale Paiman (tiga dari kanan) dan Anggerik (dua dari kanan) berbincang berkenaan isu geran tanah Taman Saujana di Pusat Khidmat DUN Permas, Taman Dahlia, Pasir Gudang, pada Selasa.
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh meminta kehadirannya sebagai wakil kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) semasa sekumpulan penduduk Kampung Taman Sri Saujana di sini membuat demonstrasi aman baru-baru ini tidak dipolitikkan.

Jelasnya, kehadiran beliau sebagai wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya untuk membantu penduduk di kawasan itu yang menuntut geran tanah diberikan dan bukan untuk mengeruhkan keadaan politik di negeri ini.

"Jangan politikkan semua perkara sebaliknya lihat kepada apa yang kerajaan akan bantu untuk menyelesaikan masalah mereka. Saya datang ke sana untuk menyelesaikan masalah penduduk kerana kasihankan mereka.

"Kampung Taman Sri Saujana sebenarnya bukan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas tetapi dalam DUN Johor Jaya. Kedua-dua DUN ini di bawah Parlimen Pasir Gudang. Walaupun bukan bawah DUN Permas tapi disebabkan satu Parlimen, saya datang juga membantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada wakil penduduk Kampung Taman Saujana, Anggerik Abidin berkenaan isu geran tanah di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Taman Dahlia di sini pada Selasa.

Pada 26 Disember lalu sekumpulan penduduk kampung tersebut melakukan demonstrasi aman yang turut disertai Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim daripada PKR dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung daripada DAP.

Kehadiran Che Zakaria kemudian menjadi isu terutama dalam Bersatu Bahagian Pasir Gudang sehingga satu surat dihantar kepada pucuk pimpinan parti Bersatu supaya tindakan diambil terhadapnya.

Che Zakaria berkata, masalah penduduk berkenaan sudah berlarutan sejak 51 tahun lalu dan memerlukan campur tangan kerajaan negeri bagi menyelesaikannya kerana isu tersebut rumit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat 800 lot tanah di kawasan seluas 0.4 hektar dan daripada jumlah itu seramai 200 penduduk sudah mendapat geran manakala 600 lagi didakwa masih tidak memperolehnya sehingga kini.

Perkara paling rumit katanya, penduduk mendakwa sudah mendiami kampung itu lebih 50 tahun dan mempunyai bukti tetapi tiba-tiba empat syarikat mendakwa sudah mempunyai geran tanah di kawasan tersebut.

Beliau berkata, isu tersebut sudah lama berlarutan dan melibatkan kerajaan negeri yang terdahulu dan memorandum tersebut akan diserahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk di daerah ini yang memerlukan bantuan makanan kerana tidak dapat bekerja atau hilang kerja akibat banjir, Covid-19 atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh datang ke Pejabat DUN Permas.

Katanya, jika mereka tidak dapat datang ke Pejabat DUN Permas kerana pelaksanaan PKP, satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan pihaknya akan menghantar makana ke rumah mereka sekiranya perlu.

Bantuan makanan itu katanya, diberikan dari 7 Januari hingga 6 Februari ini dan mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian 016-8860664 (Salim) atau 014-9000652 (Rainas).