Orang ramai tetap bersesak di pasar raya

Rak roti antara barangan keperluan yang habis terjual di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.
Rak roti antara barangan keperluan yang habis terjual di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.
A
A
A
KUALA SELANGOR - Sebuah pasar raya di sini sesak sehingga menyebabkan beberapa barangan keperluan yang diletakkan di rak habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Tinjauan Sinar Harian pada Selasa mendapati barangan keperluan seperti roti, minyak masak, mi segera dan beras antara yang 'laris' sebelum kerajaan mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.

Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam (bukan nama sebenar) berkata, pelanggan yang datang ke pasar raya itu meningkat secara mendadak.

Orang ramai beratur di kaunter bayaran di sebuah pasar raya di sini.
Orang ramai beratur di kaunter bayaran di sebuah pasar raya di sini.

"Biasanya pada hari bekerja pelanggan tidak seramai ini, malah sejak semalam dan hari ini kehadiran pelanggan lebih ramai berbanding cuti umum.

"Jika semalam pasar raya ini sesak disebabkan ura-ura kerajaan ingin melaksanakan PKP, tetapi keadaan hari ini bertambah ramai selepas pengumuman (perlaksanaan PKP) semalam," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mariam berkata, dia yang menjalankan kerja-kerja menambah stok bekalan turut merasai bekalan habis dengan cepat.

"Rakan-rakan lain juga tidak menang tangan sebab bekalan cepat habis dan kami perlu segera menambah bekalan sedia ada," katanya.

Seorang pekerja bakeri berkata, stok roti juga habis dengan cepat berbanding hari biasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, stok itu habis dalam dua hari berturut-turut dan keadaan itu dianggap luar biasa.

"Stok roti biasanya banyak di pasar raya ini, tapi sejak semalam roti habis, malah hari ini sahaja roti sudah tiada di rak sejak jam 1 petang Selasa," katanya.

Seorang pelanggan, Arifin Yusof, 69, berkata, dia keluar membeli barangan keperluan lebih sedikit berbanding biasa sebagai persediaan PKP pada Rabu.

Arifin yang menetap di Kampung Assam Jawa di sini berkata, dia tidak mahu sebarang masalah jika keluar esok dan berharap dapat duduk di rumah seperti disarankan kerajaan.

"Biasanya memang beli barangan keperluan seperti biasa, tetapi hari ini saya membeli stok barangan lebih sedikit sebab tidak mahu keluar rumah sepanjang PKP," katanya.

Bagi S Madavi, 35, pula berkata, dia dan suami hanya membeli barangan keperluan sahaja dan tiada melakukan pembelian panik.

"Kami ke sini (pasar raya) membeli seadanya kerana sebelum ini ada pengalaman semasa tempoh PKP," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Proklamasi darurat bukan rampasan kuasa tentera

Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos