Rakyat sudah bosan kerenah politik negara

Sebahagian besar rakyat sudah tidak lagi berminat mendengar siapa ‘penyelamat’ dan siapa ‘pengkhianat’ dalam kancah politik negara. - Foto 123RF
Sebahagian besar rakyat sudah tidak lagi berminat mendengar siapa ‘penyelamat’ dan siapa ‘pengkhianat’ dalam kancah politik negara. - Foto 123RF
A
A
A

KETIKA jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor makin meningkat, ditambah dengan kerosakan harta benda yang belum dikira jumlah kerugiannya, rakyat negara ini masih ‘disajikan’ dengan krisis politik yang memualkan.

Perit menghadapi derita Covid-19 yang melanda rakyat dan belenggu masalah ekonomi ternyata tidak menghalang ahli politik daripada terus bercakaran.

Keadaan itu sebenarnya menyebabkan sebahagian besar rakyat sudah tidak lagi berminat untuk mendengar siapa ‘penyelamat’ dan siapa ‘pengkhianat’ dalam kancah politik negara.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob membuat pengumuman mengejutkan apabila menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi UMNO Kelantan berkata, keputusan itu diambil selepas melihat kerajaan pada hari ini seolah-olah tidak membela rakyat dan dalam masa yang sama menganiaya UMNO.

Beliau mendakwa, antara kegagalan kerajaan PN mentadbir adalah berkenaan moratorium dan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilihat tidak mencapai matlamat sebenar, termasuk kegagalan mengurus isu pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.

Ahmad Jazlan mengakui, keputusan yang dibuatnya pasti menimbulkan pelbagai reaksi, namun tindakan itu perlu bagi mempertahankan prinsip dan maruah UMNO dan pada masa yang sama bukan kerana kepentingan peribadi.

Berdasarkan keputusan itu, kerajaan PN kini dilihat amat rapuh kerana hanya memiliki 110 sokongan ahli Parlimen. Malah ahli-ahli Parlimen ketika ini dilihat lebih cenderung untuk menyerang antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Mereka lebih mengutamakan agenda politik masing-masing daripada memikirkan kesengsaraan yang dihadapi oleh majoriti rakyat ketika ini.

Sara hidup

Majoriti rakyat tidak ambil pusing siapa dapat jawatan atau siapa hilang kedudukan.

Apa yang mereka mahu tahu hari ini adalah apakah esok hari mereka masih lagi mempunyai sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka yang sedang susah?

Adakah seorang peniaga dapat mengembalikan peralatan yang rosak dilanda banjir, kerugian akibat bencana itu yang turut dialami seorang ibu tunggal ketika sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi dan banyak lagi persoalan rakyat.

Malah, sebelum itu seluruh rakyat Malaysia bimbang dan mempersoalkan apakah setahun daripada sekarang, pandemik Covid-19 akan tamat dan negara bebas ancaman virus yang terus mencatatkan peningkatan itu.

Penulis yakin inilah persoalan-persoalan lebih mendasar sedang bermain di benak pemikiran majoriti rakyat Malaysia walaupun ada di kalangan mereka yang berjaya mengeluarkan wang KWSP masing-masing.

Rakyat hari ini mahukan kestabilan. Rakyat mahu sistem penyampaian yang telus dan cekap. Rakyat mahu negara kembali pulih agar kita semua dapat kembali kepada kedudukan lebih selamat dan selesa.

Sehubungan itu, ahli politik perlu memikirkan semula keutamaan mereka memandangkan terlalu banyak percaturan politik, malah ugutan dan permintaan untuk segera mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kesimpulannya, mandat rakyat kini bukan mengenai PN atau Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa.

Mandat rakyat hari ini adalah mereka mahu sebuah pemerintahan yang menawarkan hala tuju kepimpinan yang betul untuk negara.

Henti gadaikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat hanya kerana kemaruk kuasa dengan alasan untuk menstabilkan politik negara. Jika PR15 berlaku pun, belum tentu masalah kepimpinan negara akan selesai.