Bomoh tiada X-ray

A
A
A

PERCAYA atau tidak, pada zaman serba moden ini, masih ada yang percayakan bomoh atau dukun.

Bomoh secara amnya dipercayai mempunyai kelebihan dari segi kebolehan ghaib, mampu melihat alam lain dengan mata kasar serta boleh berkomunikasi dengan makhluk dari alam ghaib.

Dalam masyarakat Barat, mereka itu mungkin dikenali sebagai psikik.

Perkhidmatan bomoh selalunya digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah seperti disihir, kehilangan barang, juga apabila ditimpa penyakit.

Rawatan penyakit secara alternatif masih diamalkan dan masih menjadi pilihan masyarakat kita kerana ia lebih murah dan mudah.

Kehadiran perubatan moden yang bersifat saintifik dan empirikal seiring kemajuan teknologi dilihat tidak menghapuskan perkhidmatan bomoh.

Walaupun perbomohan bukan lagi pilihan utama, segelintir ahli masyarakat kita masih lagi mengiktirafnya sebagai perubatan alternatif.

Atas sebab itu, para bomoh tidak teragak-agak untuk muncul di khalayak ramai seperti ketika insiden kehilangan pesawat MH370.

Artikel Berkaitan:

Individu yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh telah melakukan ritual mengesan pesawat MH370 di tengah-tengah KLIA bersama alatan seperti tikar, buah kelapa, buluh serta tongkat.

Ada kemungkinan mereka yang memilih rawatan secara perbomohan mempunyai rasa takut akan rawatan moden, contohnya takut jarum untuk membuat ujian darah.

Perasaan takut sebegini mungkin menyebabkan mereka lebih selesa menggunakan khidmat bomoh.

Tambahan lagi, kalau ke hospital dan perlu dibedah, mereka mungkin bimbang akan ada parut. Kalau jumpa bomoh, mungkin boleh bedah secara batin dan tidak perlu risau tentang parut.

Yang paling kasihan apabila masih ada anggota masyarakat yang membawa anak yang patah tangan setelah jatuh basikal atau jatuh dari pokok untuk berjumpa bomoh sedangkan bomoh tiada perkhidmatan X-ray.

Ibarat cerita kungfu, bomoh tersebut akan cuba membetulkan tulang yang patah menggunakan tangan, kemudian membalutnya dengan kain, dengan harapan tulang yang patah itu akan bercantum kembali dengan baik.

Kebiasaannya, apabila bengkak di tangan bertambah teruk dan kesakitan tidak lagi boleh ditahan, barulah mereka ini akan pergi ke klinik atau hospital.

Sebenarnya, kalaupun tidak sakit dan ia sembuh secara semula jadi, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak yang lebih cepat sembuh, percantuman tulang mungkin tidak sempurna menyebabkan kanak-kanak terbabit membesar dengan tulang yang bengkok atau kurang sempurna.

Sekarang kita sudah ada X-ray, juga pengimbas CT atau MRI untuk melihat tulang atau sendi dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Dengan teknologi yang ada, kita boleh lihat tulang mana yang patah, berapa sudut darjah tulang yang patah, dari mana-mana arah.

Doktor di hospital akan membetulkan tulang yang patah atau lari dari posisinya sama ada secara manual atau pembedahan.

Semuanya dilakukan dengan setepat yang mungkin agar apabila sembuh, tangan terbabit boleh berfungsi hampir 100 peratus seperti asal.

Bagi mereka yang pergi berjumpa bomoh, hampir semua sendi atau tulang yang kononnya dibetulkan, menjadi cacat walaupun sembuh.

Jika berjumpa bomoh yang semestinya tidak ada mesin X-ray, tulang yang patah tidak dapat dilihat melainkan bomoh itu mempunyai penglihatan X-ray.

Tulang yang dibetulkan akan lari atau terkeluar semula jika tidak ditetapkan dengan simen atau skru sebagaimana yang dilakukan di hospital.

Jangan mudah terpedaya dengan testimoni yang menakjubkan.

Sekiranya anda mempunyai apa jua masalah kesihatan, fikir dalam-dalam dan bincanglah dengan ahli yang pakar sebelum berjumpa bomoh. Ingat, bomoh tidak ada X-ray.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.