Dilantik Exco atau tidak, Gunaraj ikrar teruskan khidmat

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Gunaraj)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Gunaraj)
A
A
A

SHAH ALAM - Perdebatan mengenai isu pembahagian jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus ditamatkan selepas kesemua yang dipilih selesai mengangkat sumpah pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George berkata, isu tersebut tidak seharusnya mengganggu tumpuan terhadap agenda lebih besar PH-BN untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.

Menurutnya, semua pihak perlu akur dan menghormati keputusan pucuk pimpinan dalam pemilihan barisan Exco tersebut yang diyakini berupaya memberikan komitmen penuh dalam memastikan kelancaran pentadbiran negeri.

"Kita tidak boleh membiarkan perdebatan mengenai peruntukan kerusi membayangi misi lebih besar PH-BN.

"Gabungan ini diwujudkan atas semangat kerjasama, keterangkuman dan matlamat bersama.

"Kita mesti mengingatkan diri kita tentang perkara ini, terutamanya pada saat-saat perselisihan faham atau ketidakpastian," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Gunaraj berkata, beliau turut akur namanya tidak tersenarai mengganggotai barisan Exco walaupun pada mulanya antara yang dipertimbangkan mengisi jawatan itu.

"Begitulah sifat politik gabungan, di mana keputusan kolektif dibuat untuk kepentingan lebih luas negeri dan rakyatnya.

Artikel Berkaitan:

"Sama ada saya dilantik atau tidak, komitmen saya kepada rakyat Selangor tetap kukuh. Dengan ada atau tanpa jawatan, saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan dedikasi saya terhadap kemajuan negeri kita dan kesejahteraan rakyatnya akan diteruskan," katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Exco, V Papparaidu dalam menyelesaikan pelbagai isu dalam masyarakat India di Selangor.

"Saya harap kita dapat mengalihkan tumpuan kita untuk berkhidmat kepada rakyat Selangor dan memastikan negeri kita terus maju.

"Saya percaya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut akan memberi perhatian terhadap aspirasi masyarakat India di negeri ini dan akan menghasilkan pelbagai inisiatif," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!