Banjir di Johor bertambah baik, jumlah mangsa berkurangan

Pemilik premis perniagaan sekitar Bandar Kota Tinggi mula membersihkan kedai masing-masing setelah keadaan banjir mulai surut ketika tinjauan di sekitar bandar tersebut. Foto Bernama
Pemilik premis perniagaan sekitar Bandar Kota Tinggi mula membersihkan kedai masing-masing setelah keadaan banjir mulai surut ketika tinjauan di sekitar bandar tersebut. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keadaan banjir di negeri ini semakin baik apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Ahad hanya seramai 479 orang daripada 128 keluarga.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu terus menunjukkan penurunan berbanding 485 orang daripada 129 keluarga setakat jam 4 petang pada Sabtu.

"Sembilan PPS masih dibuka di tiga daerah iaitu Mersing, Kota Tinggi dan Segamat. Sebuah PPS di Kota Tinggi yang masih dibuka iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC) Mawai menempatkan seramai 65 mangsa daripada 17 keluarga.

"Bagi daerah Mersing, seramai 320 mangsa daripada 85 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Politeknik Mersing, Sekolah Kebangsaan (SK) Labong, SK Pusat Air Tawar, SK Bandar Endau dan SK Bandar Teraing," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Vidyananthan berkata, seramai 94 mangsa daripada 26 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS di Segamat iaitu di Sekolah Agama Gemereh, Dewan Kampung Balai Badang dan Balairaya Kampung Jabi.

Sementara itu, katanya, hanya dua jalan utama masih ditutup untuk laluan iaitu Jalan Haji Suhud berhampiran Taman Muhibbah di sini berikutan jambatan runtuh.

Beliau berkata, Jalan Tanah Abang di Mersing masih tidak dapat digunakan untuk semua kenderaan sejak Khamis.

Artikel Berkaitan: