Kepungan politik dan kesihatan

UMNO mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
UMNO mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
A
A
A

TAHUN 2021 bermula dengan beberapa kejutan. Kes baharu kini sudah mencecah lebih 3,000. Kita dikepung oleh isu kesihatan dan nyawa. Ekonomi dan upah menakutkan. Pelampung arena politik melemaskan kerana ribut dan taufan dicipta aktor politik.

Usul perwakilan UMNO baru-baru ini dengan gelombang anti-Bersatu tidak mengejutkan tetapi ketiadaan usul berkaitan dengan pergelutan berhadapan dengan isu Covid-19, kesihatan, kebajikan, bah dan sara hidup serta kedudukan orang Melayu, bumiputera dan perpaduan antara etnik meresahkan sebilangan pemerhati.

Selain usul tolak Bersatu, ketetapan usul lain adalah pengukuhan kerjasama dengan parti Pas di bawah Muafakat Nasional dan menyegerakan pilihan raya umum (PRU) jika pandemik Covid-19 reda.

Usul akar umbi UMNO perlu diberikan keutamaan dan mencari punca kerekahan ke atas persetujuan untuk bekerjasama pada Mac 2020. Tidak ada keputusan ke atas isu hubungan dengan kerjasama parti Bersatu serta kedudukan anggota Kabinet UMNO/BN dan kerjasama dengan Pas atau parti lain, dan adakah UMNO juga sudah bersedia untuk bergerak bersendirian dan berhadapan dengan tiga penjuru?

Dalam mahu PRU disegerakan, bersediakah UMNO dipertangungjawabkan jika sekiranya kasualiti meningkat? Biarkan Covid-19 reda juga mungkin sukar kerana tidak tahu bila kerana semakin suntuk masa.

Politik berubah sekelip mata; kembali kepada ‘gencatan politik‘ terbaik ini. Tragedi PRN Sabah boleh menjadi nota kaki kita. Perdana Menteri mengambil sikap tunggu dan lihat sambil memerhati kerana sudah melalui semua ini.

Buat masa ini elok dikenal pasti apakah asas kepada kesukaran kerjasama dengan Bersatu. Adakah disebabkan jawatan, isu mahkamah, buli dan ugutan serta kerisauan Bersatu akan mendominasi?

Apakah peranan Majlis Presiden Perikatan Nasional untuk mediasi? Sejauh manakah Institusi Kepresidenan parti boleh mengungguli kewibawaan parti dengan mengharmonikan semua peringkat kepimpinan?

Artikel Berkaitan:

Pada Mac 2020, apa yang dilakukan untuk membentuk kerajaan adalah penjajaran politik dan bukan berkonsepkan satu gabungan besar.

Penjajaran silang kerjasama politik mencairkan ideologi parti, isu mahupun kedudukan kepimpinan serta kuasa parti politik melainkan wujud nilai ketokohan dalam satu organisasi seperti Kabinet untuk mentadbir.

Namun, bila Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, parti yang memiliki kerusi paling banyak dalam penjajaran tersebut tidak ada dalam mekanisme untuk merangka, membuat dan melaksanakan dasar; ia menimbulkan pergeseran.

Ia berbeza dengan amalan kerangka parti gabungan besar kerana ia mempamer kewujudan satu blok kerjasama anggota parti politik walau berbeza dengan agenda parti tetapi akui ada matlamat atau ideologi yang didokong bersama atau prinsip ‘gabungan besar’.

Salah satu punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan adalah kerana ketiadaan satu matlamat sama melain ‘menjatuhkan kerajaan BN’ pada PRU14.

Tahun 2021 boleh digunakan oleh kesemua parti baik Barisan Nasional, Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional atau Pakatan Harapan untuk merapikan ‘tawaran baru’ kepada rakyat Malaysia, persembahan satu dokumen persetujuan keberikatan antara parti dan rakyat terutama dalam menampilkan kemahuan dan keperluan masyarakat selepas memeta pemikiran mereka mengikut keutamaan yang menjadi sebahagian dari rutin harian masing-masing.

Percaturan politik boleh dibuat dengan strategik. Pertembungan antara legasi dan survivalitas parti bukan sekarang masanya. Walaupun ada yang beranggapan saga politik hari ini adalah kerana pertembungan antara personaliti, kita perlu bersikap realis.

Bukankah fahaman politik dan kesetiaan pada parti sudah semakin terhakis dengan kemunculan ‘penjajaran politik’. Siapa sangka Pas dan DAP boleh duduk semeja 13 tahun dulu sebagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2017; apakah ‘penjajaran baharu UMNO dan DAP’ mustahil jika inilah strategi taktikal yang cuba dicapai. Sejarah akan menilai.

Malahan, jangan terkejut jika ‘darurat’ menjadi opsyen untuk diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong jika masih mendesak PRU dalam Covid-19. Berhati-hati kerana rakyat memerhati.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia