Mayat lelaki dijumpai hanyut di Sungai Kinta

Anggota bomba membantu polis membawa mayat lelaki yang dijumpai hanyut dibawa arus Sungai Kinta ke tebing. Foto: ihsan JBPM Perak
Anggota bomba membantu polis membawa mayat lelaki yang dijumpai hanyut dibawa arus Sungai Kinta ke tebing. Foto: ihsan JBPM Perak
A
A
A

BATU GAJAH - Mayat seorang lelaki ditemui hanyut dibawa arus di Sungai Kinta berhampiran jalan lombong, Tanjung Tualang di sini pada Jumaat.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya ditemui oleh seorang penduduk kira-kira jam 11.15 pagi sebelum melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, khidmat pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah dipanggil bagi membantu membawa mayat mangsa ke tebing.

“Pemeriksaan awal dapati mangsa yang dianggarkan berusia 40-an itu hanya memakai seluar pendek warna hitam bercorak.

“Terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian kaki, tangan dan kepala mangsa,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dipercayai dihanyutkan kurang 24 jam berdasarkan pada keadaan fizikal yang masih elok.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat pada Isnin ini selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diketahui.

“Proses cap jari telah diambil bagi mengesan identiti mangsa dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga punca kematian diperoleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau meminta orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di talian 05-3629222.