Jerantut catat korban ketiga banjir

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia akibat lemas ketika mandi air banjir.
(Gambar hiasan)
Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia akibat lemas ketika mandi air banjir. (Gambar hiasan)
A
A
A

JERANTUT - Daerah ini mencatatkan korban banjir yang ketiga selepas seorang remaja meninggal dunia, akibat lemas dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sangkoh dekat Kuala Tembeling di sini, pada Khamis.

Mohammad Zamarulhisyam Shaari, 15, dari kampung berkenaan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lipis, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, Khamis, mangsa bersama tiga rakannya pergi ke tempat kejadian untuk mandi air banjir yang melimpah di jalan kampung berkenaan.

Menurutnya, ketika sedang mandi, mangsa dipercayai berada di tempat air yang dalam.

"Rakannya yang menyedari kejadian itu segera terjun untuk menyelamatkan mangsa namun gagal kerana keadaan air yang dalam.

"Rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Jerantut mencatatkan dua korban banjir melibatkan dua beranak, Zulkarnain Hitam, 58, dan anaknya, Ukai Iskandar, 23, selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Puas dekat Kampung Gintong dalam kejadian pada Ahad lalu.

Artikel Berkaitan: