'Tak sesuai banding pilihan raya negara lain untuk buat PRU15'

Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Malaysia Grand Challenge (MGC) hari ini. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Malaysia Grand Challenge (MGC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hujah pelaksanaan pilihan raya di Singapura dan New Zealand ketika pandemik Covid-19 tidak sesuai untuk dibuat perbandingan dengan Malaysia bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan kerana skala mereka lebih kecil, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Katanya, sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, beliau telah melihat kepada data-data jangkitan Covid-19 dan sedar bahawa sekiranya diadakan PRU15, ia akan mengundang risiko tinggi kepada sistem kesihatan awam.

Khairy turut menarik perhatian mengenai kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lepas terutama dalam kalangan ahli politik, dan menurutnya beliau berpandangan rakyat secara keseluruhan tidak ingin PRU15 diadakan semasa pandemik.

"Sebab itu saya rasa tak sesuai membuat perbandingan (buat PRU15) dengan negara lain. Yang cakap nak PRU15 ini pun saya selalu tengok Facebook, mereka (adalah) yang tidak memakai pelitup muka dan terus bersalaman orang ramai," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Malaysia Grand Challenge (MGC) di sini pada Jumaat.

UMNO sebelum ini dilaporkan akan membawa usul supaya PRU15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan Covid-19 pada Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15 biarlah tunggu Covid-19 selesai: Abdul Hadi

Desak PRU disegerakan alasan ahli politik tamak kuasa: Bersih 2.0

Usul putus hubungan dengan UMNO-Bersatu dibawa ke PAU

Artikel Berkaitan: