SPRM perlu segerakan siasatan scam poligami

MONA DIN
MONA DIN
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menjalankan siasatan kes penipuan poligami atau scam poligami yang didakwa turut membabitkan pengamal undang-undang dan kakitangan Mahkamah Syariah di negara ini.

Aktivis masyarakat, Mona Din berkata, ia sebagai langkah proaktif menyelesaikan kes scam poligami yang telah berlaku sejak sekian lama.

"Paling penting, apa yang kita nak tegaskan ialah mereka yang terlibat dengan perkara ini adalah mereka yang sepatutnya melaksanakan undang-undang.

"Walau apapun alasan diberikan sama ada mahu memudahkan poligami dan sebagainya, namun peraturan harus diikuti dan dihormati. Apabila ada bukti berlaku pelanggaran kepada undang-undang tersebut, tindakan harus diambil secara telus," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-223 bertajuk 'Sindiket poligami: Scam' yang dah lama berleluasa?' yang bersiaran secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini pada malam Khamis.

Selain beliau, wacana itu turut menampilkan panelis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dan Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mona berkata, SPRM mempunyai cara tersendiri untuk menyiasat kes berkenaan terutama yang berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pemalsuan dokumen.

Menurutnya, kebanyakan kes seumpama itu sangat sukar untuk dibuktikan melalui transaksi wang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mona berkata, beliau sebelum ini bertindak menularkan kes scam poligami di media sosialnya agar pihak berkuasa dapat menangani perkara itu dengan serius.

"Ini bukan kes terpencil. Ia sudah jadi kes biasa dan saya merasakan sudah tiba masanya untuk tularkan di Malaysia kerana kalau tidak menjadi tular, orang tak pandang.

"Kebetulan saya mempunyai kelebihan pena di hujung jari dan mempunyai jumlah pengikut ramai di media sosial. Saya mahu kes ini diketahui lebih ramai orang termasuk pihak berkuasa," katanya.

Susulan tindakannya, katanya, Sinar Harian turut mengetengahkan isu terbabit sehingga ia mendapat impak yang meluas.