X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang batalkan perarakan Thaipusam tahun ini

Perayaan Thaipusam antara acara tahunan yang disambut secara besar-besaran di Pulau Pinang sebelum ini dibatalkan susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara. Gambar kecil: P Ramasamy
A
A

GEORGETOWN - Sambutan perayaan Thaipusam yang berlangsung setiap tahun di Pulau Pinang tidak akan diadakan pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, semua acara sambutan perayaan Thaipusam yang akan bermula pada 27 hingga 29 Januari ini dibatalkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Setiap kali Thaipusam, Pulau Pinang akan menjadi tumpuan masyarakat India dari seluruh negara termasuk pelancong asing untuk menyertai kemeriahan perarakan bermula dari tengah bandar Georgetown sehingga ke Kuil Hilltop Murugan, Jalan Kebun Bungah di sini.

Ramasamy berkata, acara perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan iaitu kemuncak kepada sambutan perayaan tersebut juga terpaksa dibatalkan.

"Bagi mengekang penularan Covid-19, penganut agama Hindu juga tidak dibenarkan menghadiri upacara sembahyang di mana-mana kuil sepanjang tiga hari tersebut, sebaliknya melakukan upacara berkenaan di rumah masing-masing.

"Dalam tempoh perayaan ini, pihak berkuasa akan memantau kuil-kuil di sekitar negeri ini pada hari tersebut bagi mengelak dikunjungi penganut agama Hindu sehingga memungkinkan berlakunya kesesakan," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Ramasamy yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu berkata, upacara sembahyang pada tiga hari tersebut akan tetap dilakukan oleh ahli jawatankuasa kuil di dua buah kuil di sini iaitu Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Jalan Kebun Bunga (Kuil Waterfall Hill) dan Kuil Nattukottai Chettiar.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah bagi mengelak bukan hanya penganut Hindu, malah semua rakyat daripada mengunjungi atau berkumpul di kawasan yang sesak seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Katanya, perarakan pedati perak yang berusia lebih 100 tahun dan pedati emas yang baharu adalah kemuncak perayaan tahunan Thaipusam selama tiga hari di negeri ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!