X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang sedia ambil alih feri ikonik jika SPPP hadiah

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan pengambilalihan feri ikonik.
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan pengambilalihan feri ikonik sekiranya Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sudi menghadiahkannya.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri amat memahami sentimen rakyat di negeri itu yang rata-rata tidak setuju dengan penamatan perkhidmatan feri ikonik itu.

Menurutnya, sebagai usaha untuk memelihara kesinambungan feri tersebut, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 6 Januari telah membuat ketetapan bahawa sekiranya kerajaan Persekutuan tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pengambilalihan pemilikan feri-feri tersebut.

"Memandangkan SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) tidak mempunyai rancangan masa depan untuk mengekalkan feri-feri ikonik sebagai mod pengangkutan, maka kerajaan negeri ingin mencadangkan agar feri-feri tersebut diberikan sebagai 'hadiah' kepada rakyat dan kerajaan Pulau Pinang," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Bermula 1 Januari lalu, perkhidmatan bot penumpang laju antara Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Swettenham Pier Cruise Terminal, Georgetown telah bermula bagi menggantikan perkhidmatan feri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga bot laju sedia operasi 1 Januari 2021

Katamaran ganti feri di Pulau Pinang

Bot laju itu hanya untuk kegunaan penumpang, sementara penunggang motosikal masih lagi boleh menggunakan perkhidmatan sebuah feri ikonik yang dikekalkan buat sementara waktu sehingga ketibaan pengangkut kenderaan (vehicle transporter) yang dijangka sampai pada pertengahan 2022.

Zairil berkata, dalam erti kata lain, perkhidmatan feri ikonik ini hanyalah sementara dan menunggu masa sebelum digantikan dengan pengangkut kenderaan baharu.

Beliau berkata, pihaknya akan berhubung dengan SPPP selaku pihak berkuasa dalam perkara ini untuk membincangkan cadangan kerajaan negeri itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!