Saiful Bukhari sertai Bersatu

Saiful Bukhari (kanan) menyerahkan borang keahlian kepada wakil Bersatu di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya. (kredit gambar Facebook Saiful Bukhari).
Saiful Bukhari (kanan) menyerahkan borang keahlian kepada wakil Bersatu di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya. (kredit gambar Facebook Saiful Bukhari).
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Pembantu Peribadi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saiful Bukhari Azlan pada Khamis mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, permohonan keahliannya diluluskan pada Rabu dan beliau memilih untuk menjadi ahli Bersatu Bahagian Bentong, Pahang kerana kampung bapanya di Janda Baik.

“Setelah dua bulan beristikharah, mengumpul pendapat, memikirkan wadah politik yang selari dengan prinsip dan dirasakan sesuai, saya dengan rasa rendah diri ingin mengumumkan bahawa saya memilih untuk menganggotai Bersatu sebagai parti atau wadah politik pertama saya.

“Penyertaan saya dalam parti politik selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan bagi setiap warganegara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Saiful yang pernah bertanding atas tiket Bebas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 2018 melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selepas 12 tahun tidak berparti, beliau merasakan telah tiba masanya memilih satu wadah politik dan menjadi ahli secara rasmi.

“Bukan untuk agenda peribadi, tetapi bagi meneruskan perjuangan pada agama, bangsa dan tanah air. Pada hemat saya, adalah lebih afdal bergerak secara berjemaah dari bergerak secara solo.

“Banyak ilmu dan pengalaman boleh saya peroleh serta berpeluang mencurah bakti pada masyarakat melalui aktiviti parti,” katanya.

Katanya, politik wajar dijadikan wadah penyatuan dan bukannya perpecahan.

Artikel Berkaitan:

“Prinsip saya, walau berlainan parti, ideologi politik, saudara tetap saudara, kawan tetap kawan. Silaturahim wajib dijaga, ia lebih penting dari segalanya,” katanya.