Itu pandangan peribadi Presiden SAPP - Hajiji

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kenyataan timbalannya Datuk Yong Teck Lee untuk gabungan itu bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, adalah pandangan peribadi.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, gabungan yang terdiri daripada tujuh parti komponen perlu mengadakan perbincangan bersama sebelum membuat sebarang keputusan.

"Itu pandangan peribadi Teck Lee. Dalam GRS ada tujuh parti gabungan. Perkara ini, kita kena duduk bincang kerana masih lama lagi untuk kita adakan pilihan raya...lagi dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Sabah 2023, di sini hari ini.

GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Pada Ahad lepas, Teck Lee yang juga Presiden SAPP berkata gabungan itu harus bertanding di kesemua kerusi pada pilihan raya negeri akan datang dan tiada keperluan berunding dengan parti bukan tempatan untuk bekerjasama.

Menurut Hajiji, beliau yakin semua parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan hari ini kekal bersatu bagi membolehkan tumpuan kepada permasalahan rakyat dapat diberikan sepenuhnya termasuk dalam soal memajukan Negeri Di bawah Bayu itu.

Terdahulu pada majlis tersebut, seramai 48 warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menerima penghargaan atas khidmat cemerlang mereka yang disampaikan Ketua Menteri. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Artikel Berkaitan:

Tanding semua kerusi DUN Sabah, SAPP perlu jelas pendirian kepada PN