X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Bekas koperal dituduh terima rasuah RM500

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan menerima rasuah RM500 empat tahun lalu.
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan menerima rasuah RM500 empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Paimin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Madihah Harullah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang pada waktu itu bertugas sebagai anggota polis di Balai Polis Sikamat di bahagian tugas-tugas am telah menerima rasuah RM500 daripada seorang lelaki untuk tidak membuat tangkapan ke atasnya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 Januari 2017, jam lebih kurang 4.20 petang di Jalan Beringin Kampung Linsum, Rantau.

Berikutan itu tertuduh dituduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009(Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan yang rendah kerana sudah diberhentikan dari tugasan dan mempunyai tanggungan enam orang anak selain dirinya tidak lagi bekerja.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada minggu pertama setiap bulan.

Sebutan semula kes pada 8 Februari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Zainab Yahaya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!