Sultan Selangor dukacita dakwaan masjid, surau ditutup

Masjid dan surau di negeri Selangor terus dibuka dengan kelonggaran secara berperingkat. Gambar hiasan - Portal Pengurusan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Masjid dan surau di negeri Selangor terus dibuka dengan kelonggaran secara berperingkat. Gambar hiasan - Portal Pengurusan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan masjid dan surau di Selangor ditutup sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap dakwaan pihak yang mengatakan masjid dan surau di Selangor ditutup.

Menurutnya, secara faktanya masjid dan surau di negeri Selangor terus dibuka dengan kelonggaran secara berperingkat.

"Kelonggaran diberikan berdasarkan situasi semasa Covid-19 setempat melalui surat yang dikeluarkan oleh Pengarah JAIS terus kepada masjid dan surau terlibat.

"Ia tidak disiarkan kepada media kerana kelonggaran akan kerap berubah-ubah mengikut keadaan setempat," katanya menerusi satu kenyataan lewat malam Selasa.

Beliau berkata demikian selepas dititahkan menghadap Sultan Selangor pada Selasa bagi membincangkan kelonggaran baharu yang diberikan kepada masjid, surau kebenaran solat Jumaat dan solat fardu di Selangor.

Menurutnya, Sultan Selangor mahukan kelonggaran diberikan dapat dimanfaatkan sebaiknya ahli kariah untuk beribadah dengan aman dan tenang selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan JAIS dikuatkuasakan pentadbir dan dipatuhi sepenuhnya oleh jemaah.

Katanya, Sultan Selangor turut menzahirkan rasa dukacita dengan tanggapan segelintir masyarakat terhadap ketetapan dibuat oleh baginda.

Artikel Berkaitan:

"Baginda berdukacita bila ada telahan menyatakan bahawa keputusan baginda adalah suatu keputusan yang menghalang umat Islam untuk beribadah di masjid atau surau.

"Baginda menyatakan bahawa sikap seumpama ini adalah sikap seorang yang hanya pandai bercakap tanpa berfikir panjang.

"Keprihatinan baginda kepada kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat di Selangor amatlah tinggi dan baginda tidak mahu masjid dan surau menjadi tempat cetusan penularan baharu yang akan menambah jumlah bilangan kluster sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, Shahzihan berkata, kelonggaran yang diberikan berkuatkuasa Isnin bagi menunaikan solat Jumaat dan fardu di masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau di Selangor adalah mengikut perkembangan semasa Covid-19 setempat.

Katanya, seramai 500 jemaah dibenarkan solat Jumaat di masjid negeri dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah manakala jumlah untuk solat fardu ditetapkan kepada 150 jemaah.

"Bagi masjid pengurusan (39 buah) ditetapkan seramai 300 jemaah untuk solat Jumaat dan 150 jemaah bagi solat fardu. Masjid institusi (17 buah) ditetapkan 300 jemaah (solat Jumaat) dan 150 jemaah (solat fardu).

"Jumlah jemaah di masjid dan surau kebenaran Jumaat di daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dibenarkan mengikut kapasiti sebenar jemaah di dewan solat utama selepas penjarakkan 1.5 meter," katanya.

Beliau berkata, bagi daerah Klang, Petaling, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Gombak, 40 orang jemaah dibenarkan (termasuk pentadbir) untuk solat fardu dan solat Jumaat.

Menurutnya lagi, seramai 40 orang jemaah (termasuk pentadbir) dibenarkan solat fardu di semua surau di seluruh Selangor termasuk surau institusi.