X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Kami tak curi ahli UMNO: Bersatu Larut

Setiausaha Bersatu Bahagian Larut, Azurin Wahab
A
A

BATU KURAU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya terdapat usaha 'mencuri' ahli UMNO di bahagian untuk menyertai parti itu.

Setiausaha Bersatu Bahagian Larut, Azurin Wahab berkata, perkara tersebut sangat tidak berasas sama sekali malah dakwaan mengatakan bahawa Bersatu membayar sejumlah wang kepada mereka yang mengisi borang Bersatu di Larut baru-baru ini merupakan satu pembohongan.

Menurutnya, Bersatu Bahagian Larut sentiasa terbuka menerima kemasukan ahli-ahli baharu tanpa mengira mereka dari parti mana.

"Dalam negara demokrasi, rakyat berhak memilih mana-mana parti yang mereka yakin sebagai platform perjuangan.

"Kita terbuka menerima sesiapa yang ingin menyertai parti ini. Malah kemasukan ahli-ahli baharu sebelum ini adalah atas kerelaan sendiri, tiada istilah mencuri keahlian mana-mana parti," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Azurin berkata, Bersatu Bahagian Larut mempunyai cara tersendiri untuk menarik keahlian.

Katanya, unit mereka bergerak dengan kerjasama semua pihak dari peringkat jawatankuasa bahagian sehinggalah ke ahli akar umbi untuk menambah keahlian.

“Bersatu Larut menolak politik wang kerana yakin ia bukan mencerminkan perjuangan sebenar dan akan merosakkan perjuangan akar umbi. Tak benar setiap ahli yang masuk Bersatu diberikan sejumlah wang.

"Kami menerapkan politik kasih sayang dan perjuangan kami hanyalah demi rakyat kerana ALLAH,” katanya.

Sebelum ini, UMNO Perak mengakui wujudnya usaha 'curi dan beli' ahli-ahlinya terutama di Bahagian Larut.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa terdapat ahli-ahli UMNO yang diperdaya sehingga menjadi ahli Bersatu tanpa disedari.

ARTIKEL BERKAITAN: Saarani akui ada ahli UMNO Larut diperdaya sertai Bersatu

Malah Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menawarkan wang berjumlah RM20,000 bagi menubuhkan cawangan parti itu di Perak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas mendakwa tawaran itu diberikan berikutan parti berkenaan mengalami kekurangan ahli di peringkat akar umbi.

ARTIKEL BERKAITAN: Nazri Aziz dedah Bersatu tawar wang tubuh cawangan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!