Tujuh atlet, seorang pegawai positif Covid-19

AHMAD SHAPAWI
AHMAD SHAPAWI
A
A
A

SERAMAI tujuh atlet dan seorang pegawai disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan ketika mereka melaporkan diri untuk menjalani latihan pusat sepenuh masa pada Ahad.

Atlet terbabit melibatkan dua daripada sukan olahraga, sukan tenis berkerusi roda (2), sukan bola keranjang kerusi roda (2) dan seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran serta seorang pegawai pengiring sukan boccia.

Mereka telah menjalani ujian calitan di pusat latihan masing-masing yang telah diselaraskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) selepas diberi cuti seminggu sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya akan kembali menggunakan pendekatan latihan kuarantin berpusat untuk tempoh dua minggu pertama.

"Selepas berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kem latihan berpusat MSN akan diteruskan secara kuarantin bagi tempoh dua minggu pertama.

"Ini bermakna atlet dan jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal. Arahan ini akan dikaji semula selepas dua minggu melihat kepada perkembangan penularan jangkitan Covid-19 ini," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Shapawi berkata, proses sanitasi akan dilaksanakan di setiap pusat latihan dan penginapan sekali seminggu.

"Perkara ini akan dilaksanakan secara serta-merta. Langkah–langkah ini diambil bagi pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan komitmen MSN dalam memastikan atlet–atlet negara berada dalam kesihatan dan kondisi terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini akan dikuat kuasakan kepada semua pusat latihan iaitu di Kompleks MSN, Bukit Jalil, Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kompleks MSN Taman Keramat, Kompleks Pelayaran Langkawi, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Velodrom Nasional, Nilai dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, mana-mana individu yang didapati positif telah diasingkan dan menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"MSN sudah mengasingkan atlet yang berkemungkinan mempunyai kontrak rapat dengan atlet dan pegawai yang disahkan positif dan akan menjalani semula ujian calitan pada hari keempat," ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann dilaporkan positif Covid-19 selepas seramai 39 atlet dan jurulatih badminton di ABM menjalani ujian calitan pada Sabtu sebagai persediaan menghadapi Siri Jelajah Asia di Thailand.