Lima lagi kluster baharu Covid-19: KP Kesihatan

Dr Noor Hisham ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini. - Foto Twitter KKM
Dr Noor Hisham ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini. - Foto Twitter KKM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Lima lagi kluster baharu dikesan hari ini dengan tiga daripadanya melibatkan tempat kerja, menjadikan jumlah keseluruhan kluster di seluruh negara kini sebanyak 537 dengan 231 kluster aktif dipantau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja itu dikesan melalui saringan bersasar di tempat kerja manakala dua kluster lain dikenal pasti melalui saringan individu bergejala.

Kesemua Kluster tempat kerja terbabit dikesan di Selangor membabitkan Kluster Jalan Duyong di Klang, Kluster Pasar Jalan Sentosa, Kuala Langat serta Kluster Jalan Nakhoda di daerah Titiwangsa dan Cheras.

“Kes dalam Kluster Jalan Duyong dilapor positif Covid-19 bermula pada 31 Disember 2020 hasil saringan bersasar dilakukan di sebuah syarikat dan sehingga hari ini, sejumlah 536 individu disaring dengan 110 kes dikesan positif,” katanya pada sidang akhbar perkembangan harian Covid-19 di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Kluster Pasar Jalan Sentosa mencatat 61 kes positif Covid-19 manakala Kluster Jalan Nakhoda melaporkan 14 kes positif.

Dua kluster baharu yang lain pula ialah Kluster Ehsan Ibol di Hulu Perak, Larut, Matang dan Selama di Perak serta Gombak, Selangor yang merekodkan 22 kes positif Covid-19 manakala Kluster Telok Mas di daerah Melaka Tengah, merekodkan 13 kes positif.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, 50 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini dengan mencatat kes baharu tertinggi iaitu Kluster Jalan Duyong (95 kes) diikuti Kluster Jalan Perindustrian (81) dan Kluster Hentian (73).

Mengenai kluster yang telah tamat, beliau mengumumkan sebanyak 306 kluster tamat termasuk enam hari ini, melibatkan Kluster Batu Sembilan, Kluster Saguking, Kluster Monsoon, Kluster Buntar, Kluster Sky Coklat dan Kluster Gading.

Artikel Berkaitan:

-Bernama