Banjir terburuk dalam tempoh 20 tahun

Abdul Manan (kiri) mengharungi banjir bagi mendapatkan maklumat penduduk untuk memastikan mereka berada di kawasan selamat sebelum dipindahkan ke PPS.
Abdul Manan (kiri) mengharungi banjir bagi mendapatkan maklumat penduduk untuk memastikan mereka berada di kawasan selamat sebelum dipindahkan ke PPS.
A
A
A

TELUK INTAN - Banjir yang melanda Kampung SC Ayer Hitam di sini sejak Ahad merupakan yang terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) SC Ayer Hitam, Abdul Manan Yahya berkata, banjir sehingga dua meter menyebabkan hampir keseluruhan rumah di kampung tersebut dinaiki air.

Menurutnya, kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana air naik terlalu cepat dan mereka tidak menyangka banjir seburuk itu akan berlaku.

"Bukan sahaja peralatan dalam rumah, ada juga yang tidak sempat menyelamatkan kereta dan motosikal kerana air naik dengan cepat. Masing-masing hanya selamatkan diri dan keluarga sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: 615 mangsa banjir di Perak

"Alhamdulillah, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, selain rumah yang terjejas, kebun tanaman dan ternakan penduduk turut musnah ekoran hujan lebat berterusan sejak Ahad.

Artikel Berkaitan:

Salah satu kawasan tanaman cili yang musnah akibat banjir di Kampung SC Ayer Hitam, di sini.
Salah satu kawasan tanaman cili yang musnah akibat banjir di Kampung SC Ayer Hitam, di sini.

Katanya, kira-kira 200 penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap dan terdapat sebahagian lagi yang memilih untuk tinggal di rumah ahli keluarga lain.

Abdul Manan yang merupakan bekas ketua kampung berkata, kali terakhir banjir besar berlaku di kampung itu ialah pada tahun 1997.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sehingga kini terdapat dua PPS yang dibuka di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik iaitu di Dewan MPTI Langkap dan Dewan Serbaguna Chikus.

Katanya, sebanyak 75 keluarga dipindahkan ke dua PPS tersebut melibatkan jumlah keseluruhan mangsa sebanyak 253 orang.

"Setakat ini, semua mangsa terjejas dipindahkan dan semua keperluan mereka juga disediakan di semua PPS yang ditetapkan.

Zainol Fadzi (kiri) bertemu dengan salah seorang mangsa banjir ketika meninjau kawasan yang terjejas di sekitar DUN Sungai Manik pada Isnin.
Zainol Fadzi (kiri) bertemu dengan salah seorang mangsa banjir ketika meninjau kawasan yang terjejas di sekitar DUN Sungai Manik pada Isnin.

"Selepas ini kerajaan negeri akan melihat bantuan dan keperluan lain yang bersesuai untuk diberikan kepada mangsa banjir ini," katanya yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak.

Dalam pada itu, sehingga jam 1 tengah hari pada Isnin, jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 894 orang berbanding seramai 615 mangsa pagi tadi di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih dibuka.