Scam poligami: Siasat ketirisan di mahkamah syariah

Laporan muka depan Sinar Harian. Gambar kecil: Jais Abdul Karim dan Kamal Affandi
Laporan muka depan Sinar Harian. Gambar kecil: Jais Abdul Karim dan Kamal Affandi
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan segera bagi menyiasat kewujudan sindiket poligami dipercayai didalangi ‘orang dalam’ di institusi kehakiman syariah negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini kerana isu berkenaan merupakan isu yang serius terutamanya melibatkan pentadbiran kakitangan agensi kerajaan.

“Dalam keadaan sekarang masalah rasuah boleh dikatakan telah menjadi budaya dalam pentadbiran kakitangan kerajaan. Keadaan ini merupakan ‘pandemik’ terhadap negara.

“Siasatan segera perlu dilakukan bagi memastikan kegiatan ini dapat dihentikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas laporan akhbar ini berhubung sindiket tersebut yang dikesan menyediakan jalan pintas kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama.

Kegiatan yang digelar scam poligami membabitkan penipuan maklumat dalam dokumen permohonan poligami itu dikhuatiri boleh menjejaskan institusi kehakiman syariah di Malaysia jika dibiarkan terus berleluasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui kenyataan media pada Sabtu berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), mereka tidak menolak kemungkinan berlaku penipuan tersebut.

Tegasnya, jika terdapat sebarang aduan penipuan melibatkan kakitangan mahkamah, maka tindakan tegas akan diambil berdasarkan peraturan sedia ada penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, satu siasatan dalaman akan dilakukan selain bekerjasama rapat dengan pihak Mahkamah Syariah Negeri-Negeri, Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM dalam mengekang gejala tipuan poligami itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Scam poligami: Zulkifli mahu siasatan dalaman dilakukan

Scam poligami jadi satu bisnes

JKSM dedah kegiatan scam poligami

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, peluang untuk berlakunya ketirisan wujud di mana sahaja termasuk dalam isu scam poligami melibatkan institusi kehakiman syariah negara.

Katanya, atas sebab itu, beberapa perkara boleh ditambah baik melibatkan prosedur dalam jabatan itu dengan cara mengesyorkan supaya borang kebenaran ditandatangani di pejabat agama sendiri.

“Sepatutnya borang berkaitan perlulah ditandatangani di hadapan pendaftar nikah sendiri atau pun mana-mana penjawat awam yang bertauliah sebagai saksi.

“Walaupun demikian, saya yakin ia bukanlah satu masalah besar kepada pihak jabatan agama dan ia boleh diatasi oleh pihak berkenaan,” katanya.