X

Kindly register in order to view this article
!

Scam poligami jadi satu bisnes

Zainul Rijal
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan pemalsuan maklumat dalam dokumen permohonan poligami atau scam poligami menyaksikan kegiatan itu kini dijadikan suatu perniagaan oleh pihak-pihak tertentu.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, banyak pihak yang terlibat dalam scam poligami menyediakan pakej-pakej tertentu bagi mereka yang mahu berpoligami menerusi sindiket nikah luar negara seperti yang terdapat di Thailand dan Indonesia.

“Pertamanya, poligami di luar negara khususnya berlaku kerana ramai tidak faham undang-undang yang berkuatkuasa dalam negara. Berkahwin di luar negara ibarat senang dahulu susah kemudian,” ujar Zainul Rijal kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas beliau yang juga seorang peguam syarie, pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam kegiatan scam poligami menawarkan pakej tertentu termasuklah memohon perintah pengesahan di mahkamah syariah di mana ada peguam syarie yang bersekongkol dengan ‘ejen’ ini.

“Ada peguam syarie yang dilantik sebagai ‘panel peguam’ kepada pakej ini. Yuran peguam syarie juga sudah dimasukkan dalam fee pakej.

“Apabila telah berlaku akad nikah tanpa kebenaran, peguam syarie tertentu akan dilantik mengendalikan kes tersebut di mahkamah.

“Ini kerana akad nikah mungkin sah tetapi tidak boleh didaftarkan tanpa perintah pengesahan daripada mahkamah syariah,” katanya.

Tambah beliau lagi, scam poligami turut berlaku apabila ada pihak tertentu mencari jalan pintas untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di negeri-negeri yang dikatakan lebih mudah untuk mendapat kebenaran.

“Mereka mengaturkan untuk menukar alamat kad pengenalan atau mendapatkan pengesahan pemastautinan di negeri berkenaan sedangkan mereka tidak pernah tinggal di negeri tersebut. Semua ini diaturkan pihak tertentu,” katanya lagi.

Bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin tahun lepas menurun sebanyak 1.2 peratus manakala jumlah perceraian meningkat 12 peratus. - Foto 123RF
Bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin tahun lepas menurun sebanyak 1.2 peratus manakala jumlah perceraian meningkat 12 peratus. - Foto 123RF

Ditanya adakah skandal scam poligami ini hanya melibatkan ‘orang dalam’ seperti peguam syarie, Zainul Rijal mendedahkan terdapat juga pihak lain terlibat termasuk pegawai di mahkamah syariah negeri tertentu.

Mengakui kegiatan scam poligami telah lama menular, Zainul Rijal berkata, isu tersebut tidak disedari ramai dan tiada tindakan diambil kerana mungkin orang ramai menganggap ia perkhidmatan yang sah.

“Jadi orang ramai tidak melihat ia sebagai suatu kesalahan sedangkan kesannya terhadap masyarakat sangat membarah,” katanya lagi.

Tegas beliau, pemantauan dan pelaksanaan termasuklah dalam memberi kebenaran atau pengesahan perkahwinan poligami perlu diperketat dan pihak penguasa agama perlu mengambil tindakan terhadap ejen atau pengeluar pakej-pakej ini termasuk orang yang bersekongkol.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!